'Dah banyak kali berlaku', Fandi akui skuad Tok Gajah belum cukup konsisten main 90 minit


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Pemain yang mengalami kecederaan dan bergelut dengan masalah kecergasan diharap dapat kembali segar selepas tempoh rehat liga berakhir. — MFL

PASUKAN Sri Pahang FC ketika ini berada kelompok lima terbaik Liga Super dengan dua kemenangan dan tiga keputusan seri, selain belum tewas selepas enam perlawanan dalam semua pertandingan.

Meskipun menunjukkan perkembangan positif, skuad Tok Gajah dirasakan boleh memperbaiki kelemahan dengan menambah baik mutu permainan dalam padang sepanjang 90 minit perlawanan.

Ini kerana, Ketua Jurulatih pasukan itu, Fandi Ahmad berpendapat, barisan pemain sebenarnya boleh melakukan lebih baik dalam setiap perlawanan jika beraksi lebih konsisten sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Kadang-kadang kita bagus di separuh masa pertama, masa kedua kita tidak menjadi, dan begitulah sebaliknya dan ini memberi peluang kepada pasukan lawan untuk menyerang kita.

8pIoJomDggESEmqroO0XUdCOYQEhragsJyxtJFRS

Sri Pahang FC ketika ini menghuni tangga kelima Liga Super. — Facebook

"Ia sudah banyak kali berlaku, kita belum dapat konsistensi untuk kekalkan tempo permainan selama 90 minit. Kita tidak boleh turunkan tempo dan hanya bermain bagus dalam satu babak, ini adalah perkara yang kita mahu lihat ada peningkatan apabila liga bersambung," katanya kepada Media SPFC.

Sehubungan itu, tempoh rehat Liga Malaysia selama lebih dua minggu ini mahu dimanfaatkan sebaiknya oleh Fandi dan barisan kejurulatihan untuk menganalisis dan memperbaiki kelemahan.

"Memang gembira kerana kita belum tewas, tapi kita tidak boleh berpuas hati dan perlu meningkat, perlu konsisten untuk mencatat keputusan lebih bagus," ujarnya.

Fandi juga berharap beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan bergelut dengan masalah kecergasan akan kembali dengan lebih segar untuk membantu Sri Pahang FC meneruskan rentak positif musim ini.

Aksi seterusnya bagi skuad Tok Gajah adalah pada 1 April nanti, menentang pasukan tangga ketiga Kedah Darul Aman di laman sendiri di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram