Arkitek The Rhinos kembali menjelang pertemuan JDT, tampung kehilangan Saddil Ramdani


  • Podium
  • Selasa, 28 Mac 2023

Telmo ketika beraksi dalam perlawanan kedua Liga Super menentang Kelantan United FC pada 1 Mac lalu. — Facebook/Sabah Football Club

SELEPAS tiga minggu disisihkan akibat kecederaan, pemain tengah Sabah FC, Telmo Castanheira akhirnya kembali bersama pasukan menjelang pertemuan ditunggu-tunggu bersama pendahulu liga, Johor Darul Takzim, Jumaat ini.

Kelibat pemain kelahiran Portugal itu dilihat pada sesi latihan skuad The Rhinos yang diadakan pada malam Isnin.

Telmo sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan selepas perlawanan ketiga Liga Super 2023 ketika menentang Kuching City FC pada 6 Mac lalu.

Ketiadaan pemain berusia 30 tahun itu dalam dua perlawanan terakhir memberikan sedikit kegusaran kepada penyokong Sabah FC kerana dia dilihat memiliki pengaruh yang tersendiri kepada barisan tengah pasukan.

Telmo merupakan pemain mempunyai kualiti dalam mengukuhkan barisan tengah The Rhinos yang turut diperkuatkan dengan kehadiran kapten pasukan, Park Tae-su dan pemain kebangsaan, Stuart Wilkin.

Telmo

Telmo ketika sesi latihan pada Isnin. — Facebook/SabahFootballClub

Apatah lagi, Telmo juga dilihat merupakan pemain yang cukup baik dalam membantu pasukan mendapatkan gol dengan rekod 2 jaringan hanya daripada tiga perlawanan utama.

Disebabkan itu, ketajaman yang dimilikinya pastinya amat diperlukan khususnya ketika berkunjung ke gelanggang lawan yang juga penyandang juara liga, JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor dalam perlawanan seterusnya.

Kembalinya Telmo ke dalam skuad Sabah FC itu disambut dengan penuh keterujaan oleh penyokong kelab Negeri Di Bawah Bayu itu yang sememangnya menantikan kehadiran pemain tersebut ke dalam pasukan.

"Akhirnya, muncul juga dia. Harap-harap dia main 31 Mac ini," kata Azizi Jiji.

"Yessss...arkitek sudah kembali," ujar Tom Bee Ruo.

"Ada sudah rakan Darren lok dan Saddil (Ramdani). Rakan-rakan yang lain mesti ada kesatuan, kalau tidak hancur harapan untuk menang," kata Ja Cc.

336485289_859063038527102_4435193012718572194_n

Saddil (kiri) ketika beraksi dalam perlawanan menentang Penang FC pada 17 Mac lalu. — Facebook/SabahFootballClub

Berita kembalinya Telmo itu merupakan berita positif buat Sabah FC yang kini berada di kedudukan kedua liga selepas tonggak utama jentera serangannya iaitu Saddil dilaporkan mengalami kecederaan.

Saddil baru-baru ini disahkan mengalami kecederaan sehingga menyebabkan pemain terpaksa meninggalkan pasukan negaranya lebih awal ketika menjalani tugasan antarabangsa untuk perlawanan persahabatan pada minggu lalu.

Berbaki tiga hari sebelum perlawanan menentang JDT, difahamkan pemain berusia 24 tahun kelahiran Indonesia itu sedang dalam proses pemulihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram