SKUAD Sabah FC dilihat berada di landasan yang betul dalam peringkat awal Liga Super musim ini apabila berjaya mencatatkan empat kemenangan dan satu seri pada lima aksi pertama.
The Rhinos juga menjadi pasukan sangat menarik untuk disaksikan dengan ia menjadi kelab kedua terbanyak menghasilkan jaringan dengan 15 gol, berada di belakang Johor Darul Takzim (JDT)yang mencatatkan 21 jaringan.
Namun begitu, di sebalik keputusan positif direkodkan, barisan serangan Sabah FC masih dilihat gagal memberikan sumbangan lebih signifikan dalam membantu pasukan dengan jaringan gol, sekali gus melunaskan tanggungjawab sebagai penyerang.
Di posisi penyerang, hanya Darren Lok yang berjaya menjaringkan gol, melalui dua jaringannya yang terhasil daripada sepakan penalti.
Baki 13 gol lagi pula disumbang oleh pemain daripada posisi lain antaranya pemain tengah bertahan, Park Tae-su dengan empat gol; sayap kiri, Saddil Ramdani tiga (tiga); pertahanan tengah, Daniel Ting (dua) dan pemain tengah, Telmo Castanheira (dua).
Skuad Sabah FC dilihat masih bergantung kepada pemain di posisi selain daripada penyerang untuk menghasilkan jaringan. — Facebook/SabahFootballClub
Isu kebuntuan barisan serangan dihadapi Sabah FC itu dilihat sememangnya masalah yang dihadapi oleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sejak musim lalu.
Hal itu juga menyebabkan pasukan pengurusan membuat keputusan untuk membuat pembelian penyerang import baharu yang berasal dari Nigeria iaitu Jacob Ngoku.
Bagaimanapun, penyerang berusia 25 tahun itu dilihat tidak menjadi pemain pilihan utama pasukan apabila sekadar membuat penampilan dalam satu perlawanan dan tanpa sebarang sumbangan gol.
Antara pemain penyerang lain yang dimiliki Sabah FC di dalam skuad ialah pemain veteran, Amri Yahyah, dan Jafri Firdaus Chew.
Dalam pada itu, di tengah-tengah isu tersebut, bekas penyerang import Sabah yang membantu pasukan menjuarai Liga Perdana pada 2019, Aguinaldo Policarpo Mendes Da Veiga dilihat seakan-akan memberi bayangan berhubung hasrat terpendamnya.
Aguinaldo pernah beraksi bersama The Rhinos selama semusim. — The Rhinos Troops
Menerusi hantaran di Facebooknya pada 17 Mac lalu, penyerang kelahiran Angola itu berkongsikan foto lamanya bergambar bersama pasukan Sabah di hadapan trofi Liga Perdana.
Turut kelihatan pada dalam gambar dikongsikan itu ialah kapten pasukan Sabah FC ketika ini iaitu Tae-su.
"Pada suatu ketika dahulu," tulisnya dalam bahasa Inggeris menerusi hantaran berkenaan.
Pada masa sama, terdapat beberapa penyokong skuad The Rhinos yang meminta pemain tersebut untuk membuat penampilan semula bersama pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu.
"Cubalah pemain import ini kembali untuk berkhidmat di Sabah FC," ujar Christopher Christopher.
"Bagi saya Aguinaldo baik (bagus), Sabah ambil balik, memang fit," tulis Ronny Ronny.
"Come Back to Sabah FC, Sir," kata Ringbee Masangki.
Dalam pada itu, Aguinaldo turut membalas beberapa komen yang memintanya kembali kepada skuad The Rhinos dengan emoji berbentuk hati.
Gambar dikongsikan Aguinaldo di Facebooknya pada 17 Mac lalu — Facebook/Aguinaldo
Mesej yang diberikan pemain berusia 33 tahun itu pastinya memberi keterujaan kepada peminat Sabah FC untuk melihatnya kembali menyarung jersi kelab itu memandangkan Aguinaldo kini tidak mewakili mana-mana kelab.
Menurut transfermarkt, kelab terakhir diwakili penyerang itu adalah East Riffa yang beraksi di Liga Super Bahrain.
Selepas beraksi bersama Sabah selama semusim, Aguinaldo telah berkelana di beberapa kelab antaranya Real SC yang bermain di Liga Ketiga Portugal dan FC Metaloglobus Bucharest (Liga Dua Romania).
Semasa beraksi bersama Sabah, dia menyumbang lima gol daripada 15 penampilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram