Wanita dakwa ada sekolah, tadika paksa murid puasa sampai nak pengsan


KPM menyarankan operasi kantin diteruskan seperti biasa pada bulan Ramadan, walaupun jumlah pelajar bukan Islam tidak ramai di sesebuah sekolah itu.

IBADAT puasa sememangnya diwajibkan bagi setiap umat Islam yang cukup syarat seperti baligh, berakal dan bebas daripada sebarang keuzuran.

Namun, baru-baru ini, seorang wanita mendedahkan terdapat kanak-kanak yang masih belum cukup syarat dipaksa untuk berpuasa di sekolah.

Bagi ibu bapa tentu sekali mahu anak-anak mereka melaksanakan Rukun Islam ketiga itu, selagi tidak memudaratkan.

Menerusi hantaran di laman Twitter Izzati Rosdi, wanita itu mengutarakan soalan kepada pengguna media sosial, berhubung platform yang boleh diadukan tentang tindakan pentadbiran sekolah memaksa kanak-kanak berusia tujuh tahun berpuasa.

"Bila tengah hari, anak-anak nak pengsan sebab tidak dibenarkan makan. Ini termasuk bekal makanan sendiri. Saya ingat KPM (Kementerian Pendidikan) benarkan?

"Ye, memang perlu ajar anak berpuasa tapi bukan sampai memudaratkan macam ni. Tahulah ibu bapa nak ajar.

"Ni balik sampai nak collapsed (pengsan) budak. Dengan panas apa semua lagi. What nonsense is this?" soalnya kesal.

Justeru, wanita tersebut menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya memantau sekolah-sekolah terbabit, yang dianggap seolah-olah tidak mempunyai sikap belas kasihan dan ihsan terhadap kanak-kanak.

"Oh, dan ada tadika yang paksa anak puasa juga ya. Mungkin boleh periksa juga perkara ini," katanya.

Wanita itu menambah bahawa, KPM sudah pun mengambil maklum tentang permasalahan itu dan berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

file7bg7hk9vn2dixldvgaf

Ada kanak-kanak didakwa dipaksa berpuasa di sekolah pada bulan Ramadan sehingga pengsan.

Hantaran wanita itu seterusnya mendapat respons beberapa pengguna media sosial yang memberi solusi akan masalah berkenaan.

@IzzatiMahdi menulis: "Mula-mula cuba jumpa guru besar dan complain pada dia. Jika tak ada perubahan, boleh usulkan ke pejabat pendidikan daerah. Kalau tak jalan juga, naik ke jabatan pendidikan negeri."

Tambah @FairuzRusli: "Hal ehwal sekolah ni, mula-mula cari pentadbir sekolah tu dulu. Kalau tak jalan juga, report PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) seterusnya JPN (Jabatan Pelajaran Negeri). Satu lagi boleh buat aduan online di SISPAA, tapi tak tahulah bila dapat respons."

@notran633m berkata: "Kalau kes macam ni ibu bapa perlu buat laporan bertulis rasmi dan hantar kepada guru besar dan tunggu respons. Kalau tak boleh bawa bincang juga, tulis laporan dan bawa sendiri surat tersebut ke PPD. Mungkin boleh buat laporan di laman KPM?"

Pada Rabu lalu, KPM dilapor menyarankan operasi kantin diteruskan seperti biasa pada Ramadan, walaupun jumlah pelajar bukan Islam tidak ramai di sesebuah sekolah itu.

Menterinya, Fadhlina Sidek, menekankan tiada keperluan untuk kantin ditutup kerana tidak mahu wujud lagi senario pelajar makan di dalam stor atau di tepi longkang.

"Yang kita hendak tegaskan ialah soal keperluan kita menyantuni kanak-kanak bukan Islam walaupun dalam bulan Ramadan... kerana ini adalah Kerajaan Madani, kerajaan inklusif, yang mana kedua-dua pihak perlu saling menghormati.

"Mereka yang berpuasa kena santuni yang tidak berpuasa, yang tidak berpuasa kena belajar menghormati mereka yang berpuasa. Justeru, saya menyarankan pengusaha untuk terus buka kantin kerana ada kanak-kanak di sekolah rendah yang tidak wajib lagi berpuasa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram