Anak belasah bapa guna kerusi di Kajang, tak puas hati ditegur baca doa buka puasa laju


  • 112
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Seorang lelaki diatahn polis selepas didakwa memukul bapanya dengan kerusi di Kajang, Selangor. — Gambar hiasan

GARA-gara ditegur baca doa berbuka puasa terlampau laju, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila memukul bapanya di sebuah rumah dekat Kajang, Selangor pada Jumaat.

Susupek berusia 34 tahun itu diberkas polis selepas didakwa memukul bapanya menggunakan kerusi ketika berbuka puasa di kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan menerusi kenyataannya berkata, laporan polis dibuat mangsa berumur 63 tahun itu kira-kira pukul 7.45 malam.

"Siasatan mendapati, suspek tidak berpuas hati selepas ditegur bapanya kerana membaca doa dengan laju sebelum bertindak menghayunkan kerusi ke kepala mangsa sehingga patah kaki kerusi.

Katanya, suspek kemudiannya berjaya diberkas sejurus selepas kejadian.

"Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian dahi dan tangan.

"Kerusi meja makan yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Ujar Mohd Zaid, suspek kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram