'Batal puasa jika ambil suntikan Liraglutade', bekas mufti ulas rawatan terkini kawal guna, tekanan darah


  • Primer
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Suntikan Liraglutade yang berfungsi untuk mengawal berat badan boleh membatalkan puasa. — Gambar hiasan

SUNTIKAN ubat Liraglutade boleh membatalkan puasa seseorang dan ia dilarang diambil oleh umat Islam di bulan Ramadan.

Berfungsi untuk mengawal berat badan, ia boleh mengakibatkan puasa terbatal kerana bersifat memberi tenaga (mughazzi).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, salah satu rawatan terbaharu untuk mengurangkan gula dan memberi manfaat kepada tekanan darah, paras kolestrol dan fungsi pankreas adalah dengan menggunakan hormon Glucagon Like Peptide 1 (GLP-1) agonists.

Katanya, fungsi hormon GLP-1 membantu pankreas supaya mengeluarkan insulin secara optimum.

"Insulin itu pula sebagai pembawa gula dalam darah untuk diedarkan ke dalam tisu badan sebagai tenaga.

"Justeru, ia dikira sebagai suntikan yang memberi tenaga kepada manusia," katanya dalam satu kenyataan menjawab soalan agama di laman web puasa, Ramadan, pada Jumaat.

Katanya, sebagai langkah berhati-hati jika pesakit memerlukannya, mungkin suntikan itu boleh dibuat pada malam hari di bulan Ramadan, dengan pandangan dan nasihat doktor.

Liraglutade disuntik pada bahagian perut, meningkatkan rasa kenyang dan puas dengan mengaktifkan bahagian tertentu otak yang mengawal selera lantas mengurangkan pengambilan makanan atau kalori seterusnya menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, hanya golongan dewasa yang mengalami obesiti dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 27 kilogram/meter padu (kg/m2) atau BMI melebihi 30 kg/m2, selain mengalami penyakit seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes jenis dua atau apnea tidur obstruktif (dengkur) sahaja yang sesuai menggunakannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram