Bukan Terengganu FC sahaja, kelab EPL pun alami proses sama


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Ada penyokong berpandangan bahawa skuad Sang Penyu perlu diberikan masa untuk mendapatkan keserasian dalam kalangan pemain. — Facebook/TerengganuFC

BERADA di kedudukan kesembilan selepas lima perlawanan awal Liga Super musim ini bukanlah sesuatu yang dijangkakan berlaku untuk pasukan yang memiliki nama besar seperti Terengganu FC (TFC).

Apatah lagi, pada musim lepas, skuad Sang Penyu merupakan pasukan yang berada di tangga kedua liga.

Disebabkan itu, tiga kekalahan dialami dengan hanya satu kemenangan dan satu seri bukanlah keputusan diharapkan penyokong kelab yang sebelum ini dianggap sebagai pencabar utama dalam saingan Liga Super 2023.

Berdasarkan kepada keputusan direkodkan pada peringkat awal liga setakat ini, skuad TFC masih gagal mempamerkan corak permainan meyakinkan apatah lagi mendapat keputusan yang positif.

Malah bahagian serangan pasukan juga dilihat sangat tumpul apabila hanya mencatatkan dua gol daripada lima perlawanan.

Pada masa sama, pertembungan bersama pasukan di kelompok teratas seperti JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada permulaan liga juga seakan-akan tidak memberi ruang kepada skuad Sang Penyu untuk mendapatkan keyakinan.

Dalam pada itu, perlu diakui bahawa pasukan TFC yang dibimbing oleh ketua jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner terdiri daripada skuad agak berbeza berbanding musim sebelum ini.

Terengganu

Corak taktikal ditampilkan Steinbruckner turut mendapat kritikan daripada penyokong. — Facebook/TerengganuFC

Ini kerana skuad pengurusan dilihat membuat rombakan terhadap tonggak utama yang ditampilkan.

Antara yang membuat keputusan untuk berhijrah keluar ialah dua bintang import utamanya iaitu pemain sayap kanan, Tchetche Kipre yang ke Kuala Lumpur (KL) City FC dan penyerang, Kpah Sherman (Sri Pahang FC).

Prestasi semasa ditunjukkan TFC setakat ini menyaksikan barisan import baharu ditandatangani seperti Sony Norde, Adisak Kraisorn dan Damogoj Pusic masih gagal menyerlah dan memberikan pengaruh besar kepada pasukan.

Malah, Steinbrucker juga merehatkan penyerang import kelahiran Croatia yang direkutnya pada musim ini iaitu Ivan Mamut dengan tidak menurunkan pemain tersebut dalam dua perlawanan terakhir selepas mendapat kritikan penyokong.

Pada masa sama, turut ditimbulkan oleh penyokong adalah corak taktikal ditampilkan Steinbruckner kerana dikatakan kurang menarik dan mudah dibaca oleh pihak lawan.

Namun begitu, ada penyokong berpandangan bahawa skuad Sang Penyu perlu diberikan masa untuk mendapatkan keserasian dalam kalangan pemain.

"Memang susah nak dapatkan result yang serta-merta. Benda macam ini ini bukan jadi dekat TFC sahaja, kelab-kelab EPL (Liga Perdana Inggeris) pun sama ada alami proses macam TFC," ujar Danish Zainuddin.

Terengganu 2

Barisan tonggak import yang ditandangani pada musim ini masih gagal untuk menyerlah. — Facebook/TerengganuFC

Bagaimanapun, dia turut berpandangan jurulatih kelahiran Croatia itu tetap perlu mengenal pasti dengan jelas isu sedang dihadapi pasukan untuk membolehkan ia ditangani segera.

"Dari segi kerja berpasukan mungkin, corak permainan, teknik dan juga aspek dalam pasukan itu sendiri seperti tahap komunikasi yang kurang antara pemain.

"Jadi harap sangat jurulatih dapat baiki apa yang patut. Sebagai contoh dari segi komunikasi itu tengok selalu berlaku silap faham dari pemain. Nampak macam nak lari, tapi bila hantar bola tak lari," ujarnya.

Turut bersetuju dengan pandangan tersebut ialah Mohd Amiruddin Hamzah yang menulis, "Pasukan baru lagi. Nanti pemain dah kenal hati budi semua orang orang baru senang nak main. Insya-ALLAH."

"Bagi sokongan moral kepada pemain kita. Kalau moral mereka jatuh, susah nak dapat rentak," ujarnya.

Terengganu FC bakal melayani kunjungan Kelantan United FC dalam perlawanan seterusnya yang akan berlangsung pada 31 Mac ini Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram