SETELAH beberapa minggu dibelenggu penantian, penyokong Harimau Malaya akhirnya dapat menarik nafas lega apabila mereka dapat menyaksikan aksi pasukan kebangsaan pada Khamis.
Perlawanan persahabatan Kelas 1 menentang Turkmenistan pastinya menjadi satu ujian buat anak-anak buah Kim Pan-gon bagi mempersiapkan diri menjelang aksi Piala Asia 2023.
Aksi itu pastinya sedikit janggal buat rata-rata penyokong apabila ia bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor selepas venue utama Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sedang ditambah baik.
Tidak cukup dengan itu, beberapa wajah baharu juga pastinya akan menjadi salah satu perkara yang menarik perhatian, termasuk duo pemain naturalisasi baharu, Paulo Josue dan Endrick dos Santos.
Bagaimanapun, keputusan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada segelintir pemain yang sebelum ini pernah mengerah keringat buat pasukan kebangsaan.
Salah seorang yang berdepan nasib itu ialah pemain sayap berusia 31 tahun, Norhakim Hassan apabila dia dikatakan masih bergelut dengan isu kecederaan.
Dia sebelum ini berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF 2022 berikutan beberapa pemain yang enggan mengambil tempat.
Norhakim pernah menjadi tonggak Harimau Malaya ketika Piala AFF 2022. — Facebook/FAM
Namun, dengan dia gagal mendapatkan tempat dalam skuad Gergasi Merah, tidak hairanlah apabila Pan-gon memilih untuk menggugurkannya daripada pemilihan kali ini.
Kehilangannya itu dikatakan sedikit sebanyak akan menjejaskan rentak permainan meskipun dia hanya berjaya mencipta dua bantuan gol setakat ini.
Pandangan itu disampaikan segelintir pengikut setia Harimau Malaya di media sosial yang sepertinya merindui kelibat pemain sayap berkenaan.
"Bagi pendapat saya, Norhakim Hassan sangat perlu untuk disenaraikan dalam pasukan kebangsaan kerana pemain Selangor ini adalah antara yang paling rajin dan paling bagus di sayap kiri," kata Jamal Nasir.
"Betul, larian dan kerajinan Norhakim memang cukup mantap. Mungkin dia ada kekurangan dari segi penyudah dan kawalan bola.
"Tetapi, setiap kali bola dilorongkan di hadapannya, dia akan terus mengejar dan ia satu perkara yang cukup bagus," kata Irwan Mohd Rasid.
Musim ini, bekas pemain Perak FA itu hanya perlu berpuas hati menyaksikan aksi rakan sepasukan dari bangku simpanan sementara menunggu proses penyembuhan.
Selain itu, khidmat Norhakim hanya diperlukan dalam enam aksi Harimau Malaya dengan tiga daripadanya hadir ketika aksi Piala AFF 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram