PERANCANGAN Terengganu FC untuk musim 2023 sepertinya tidak menjadi apabila mereka memulakan kempen Liga Super dengan langkah kiri.
Selepas lima perlawanan, pasukan Pantai Timur itu hanya berjaya mengumpul empat mata dengan tiga kekalahan sudah dicatatkan setakat ini.
Keputusan tidak konsisten itu menyaksikan skuad Sang Penyu berada di kedudukan kesembilan liga, yang mana cukup mengecewakan memandangkan mereka muncul sebagai naib johan musim lalu.
Bagi sesetengah pihak, kekecewaan itu berpunca daripada rombakan yang dilakukan pihak pengurusan sepanjang jendela perpindahan lalu.
Selain kehilangan khidmat Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih, Terengganu FC juga mengambil keputusan melepaskan beberapa tonggak pasukan.
Shitembi merupakan antara tonggak utama Terengganu FC pada 2022. — Facebook/Terengganu FC
Pemain tengah kelahiran Namibia, Petrus Shitembi merupakan antara 'tulang belakang' pasukan yang kini tidak lagi bersama skuad Sang Penyu meskipun sumbangannya bersama pasukan cukup penting.
10 bantuan gol dan satu jaringan peribadi dalam 14 penampilan Liga Super musim lalu membuktikan bahawa pemain berkenaan cukup penting.
Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong Sang Penyu acap kali mempersoalkan keputusan pihak pengurusan yang tidak mengekalkan khidmatnya, apatah lagi dengan dia ketika ini tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan.
Namun, baru-baru ini, pemain berusia 30 tahun berkenaan sepertinya meluahkan kerinduan untuk beraksi bersama Terengganu FC.
Hantaran Shitembui di Instagram peribadi miliknya membuka 1,001 persoalan. — Instagram/petrus.shitembi
"Count every blessing," tulis Shitembi dalam satu hantaran di Insta Story peribadinya sambil menyertakan sekeping foto dia beraksi bersama skuad Sang Penyu menentang Selangor FC.
Hantaran itu kemudiannya dikongsikan penyokong finalis Piala FA 2022 tersebut di laman Facebook Penyokong Terengganu FC yang menyaksikan ratusan komen mengharapkan kepulangannya.
"Boleh juga kalau diambil Shitembi, boleh gantikan tempat Liridon Krasniqi. Hantaran dia pun kemas dan apabila di hadapan pintu gol, tidaklah terlalu teruk sepakannya," kata Edy Aidil.
"Itulah, kenapa pihak pengurusan melepaskan Shitembi padahal dia sudah mencipta gandingan yang cukup baik dengan Habib Haroon," kata NB Bersatu Chanel.
"Ketika ini, dia tidak berada bersama mana-mana pasukan, kenapa pihak pengurusan tidak mahu ambil dia? Buat apa ambil Omid (Nazari) pula?" tanya Fierdaus Park.
Selain Terengganu FC, Shitembi juga pernah beraksi dalam Liga Malaysia bersama Sabah FC selama semusim yang ketika itu baru sahaja melayakkan diri ke divisyen teratas bola sepak tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram