SKUAD Harimau Malaya meneruskan prestasi cemerlang dalam kempen Piala AFF 2022 apabila merekodkan kemenangan besar ke atas Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dua jaringan daripada penyerang sayap, Faisal Halim memberi keselesaan buat pasukan selepas mendahului pada separuh masa pertama menerusi gol pemain naturalisasi, Sergio Aguero.
Selain itu, pemain muda Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli dan rekrut baharu Sabah FC, Stuart Wilkin masing-masing berjaya mencatatkan gol pertama dalam jersi Harimau Malaya.
Lebih menarik lagi, kejayaan untuk mengumpul tiga mata penuh itu turut membolehkan anak-anak buah Kim Pan-gon menduduki tangga teratas Kumpulan B, sekali gus menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Jadi, tidak hairanlah apabila ruangan media sosial dipenuhi sorakan dan pujian daripada penyokong bola sepak tempatan yang berpuas hati dengan persembahan tersebut.
Antara nama yang sering disebut-sebut ialah Faisal dengan sumbangan tersebut meletakkannya sebagai penjaring terbanyak Piala AFF 2022 selepas merekodkan tiga gol dalam dua penampilan.
Nama Pan-gon juga dilihat mula dijulang-julang apabila pendekatan dan kehadirannya sejak Jun lalu berjaya mengubah reputasi dan kebolehan pasukan secara menyeluruh.
Bagaimanapun, satu wira tidak didendang mula mencuri perhatian ramai, iaitu pemain sayap, Norhakim Hassan yang semakin diberi kepercayaan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Ketika skuad kebangsaan membenam Laos, pemain berusia 31 tahun itu menjadi antara kunci utama di sebalik kemenangan tersebut selepas membuat dua hantaran gol yang disempurnakan Aguero dan Faisal.
Norhakim (kanan) terus memberi aksi cemerlang bersama skuad kebangsaan. — Facebook/FAMalaysia Official
Bukan itu sahaja, dia yang boleh dikategorikan sebagai antara senior skuad turut dikatakan tidak henti-henti mengawal gerakan pihak lawan serta mengatur serangan sepanjang berada di atas padang.
Oleh itu, bagi menghargai kehadiran pemain Selangor FC itu, seorang penyokong tegar bola sepak tempatan, Nazmi Razz memberi pendapat bahawa dia merupakan antara penyerang sayap terbaik dimiliki skuad kebangsaan ketika ini.
"Memang padu dan mantap pemain sayap kita ini, apa pendapat penyokong yang lain?" tulisnya dengan menyertakan foto pemain tersebut menyarung jersi Harimau Malaya.
Perkara itu seakan-akan diterima sebahagian besar pengguna media sosial, termasuk Lan Taman yang berasakan Norhakim semakin matang ketika aksi bersama skuad kebangsaan.
"Sudah bijak skil tersendiri dan saya juga rasa dia hebat sebab boleh main kaki kiri mahupun kaki kanan. Nak main di posisi sayap kiri ke, sayap kanan ke, memang sudah ada kebolehan," katanya.
Bagi Hairi Iwadi pula, dia semakin berpuas hati dengan rentak serta sumbangan pemain tersebut sehingga berharap pihak pengurusan Perak FC dapat membawanya pulang.
"Dulu, semasa dia masih di Perak, dah boleh agak dia akan jadi bagus. Sekarang ni, semua pula sokong dia. Harap-harap kalau dia keluar dari Selangor, bolehlah Perak ambil pula ya," katanya.
"Dah sama power macam Corbin-Ong dan Rizal Ghazali dia ni, lepas ni locked terus posisi LB Harimau Malaya," ujar Ustaz Spek.
Sebelum berkhidmat bersama Selangor FC, Norhakim pernah bermain bersama Perak FC dan T-Team, yang mana dia berjaya muncul sebagai antara tonggak di sebalik kejayaan The Bos Gaurus menjulang Piala Malaysia 2018.
Bagaimanapun, selepas berdepan isu pengurusan dan kewangan, pemain kelahiran Terengganu itu memilih untuk menyertai skuad Gergasi Merah pada 2020 dan difahamkan akan terus kekal untuk musim depan.
Namun, dengan Perak FC dilihat sedang membuat persiapan untuk Liga Super akan datang, Norhakim boleh memberi sumbangan baik dari segi permainan mahupun di sebalik tabir sebagai staf kejurulatihan di bawah tunjuk ajar Lim Teong Kim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram