Tok Gajah mula mengorak langkah, fans percaya satu piala dalam sasaran pasukan


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Penyokong Sri Pahang FC yakin pasukan mampu mencapai prestasi lebih baik dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini. — Facebook/SriPahangFC

DALAM persiapan memasuki musim baharu Liga Super 2023, Sri Pahang FC dilihat merupakan antara pasukan yang tidak begitu menyerlah dalam persediaan yang dilakukannya.

Berada di kedudukan ketujuh liga pada musim lepas, skuad Tok Gajah dilihat tidak membuat rombakan besar-besaran pada kali ini apabila hanya menggugurkan sembilan pemain daripada skuad sebelum ini.

Bagaimanapun, pasukan Pantai Timur ini mengambil keputusan bijak dengan menandatangani beberapa pemain pengalaman dan memiliki kekuatan tersendiri terutamanya dalam saingan Liga Super.

Antara pemain tempatan baharu yang memperkuatkan cabaran Sri Pahang ialah empat bekas pemain Johor Darul Takzim iaitu bekas pertahanan kebangsaan, Fadhli Shas; penjaga gol, Izham Tarmizi dan dua pemain pertahanan iaitu Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq.

336385666_744681557281249_5055351947098123383_n

Kpah sudah menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan awal Liga Super 2023. — Facebook/SriPahangFC

Untuk pemain import pula, pasukan Pantai Timur itu dilihat membuat pembelian sangat berbaloi dengan menandatangani penyerang sensasi daripada Terengganu FC, Kpah Sherman.

Setakat lima perlawanan terawal Liga Super 2023, pemain berasal dari Liberia yang berusia 31 tahun itu sudah menjaringkan dua gol buat skuad Tok Gajah yang kini berada di kedudukan kelima carta liga.

Keputusan direkodkan itu hasil daripada dua kemenangan dan tiga keputusan seri yang diperolehi dengan tiada sebarang kekalahan direkodkan setakat ini.

Dalam pada itu, Sri Pahang FC juga dilihat lebih seimbang dan stabil di bawah kendalian ketua jurulatih yang juga legenda pemain bola sepak Singapura, Fandi Ahmad yang turut dibantu pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh.

1602540

Di bawah kendalian Fandi, Sri Pahang FC kini menjadi pasukan lebih seimbang dan stabil di setiap posisi. — Agensi

Dalam pada itu, pengurusan skuad Tok Gajah dilaporkan mula mengorak langkah bagi mendapatkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk bersaing di peringkat Asia.

Pada Ahad, kelab tesebut memaklumkan menerima lawatan daripada wakil Unit Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) ke pejabat SPFC dari 15 hingga 17 Mac lalu.

Langkah tersebut difahamkan bertujuan bagi mendapatkan bimbingan dan penerangan berkaitan langkah mendapatkan lesen untuk bersaing dalam saingan AFC.

Untuk rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini pada 2018 pernah melarang Pahang untuk memohon lesen berkenaan kerana keenganan pasukan itu untuk bersaing di pertandingan Piala AFC pada musim tersebut.

Dalam pada itu, rata-rata peminat skuad Tok Gajah melahirkan keterujaan berhubung perkembangan tersebut dengan ada antaranya menjangkakan bahawa kelab tersebut bakal mencapai prestasi lebih baik dalam Liga Malaysia pada kali ini.

U2FvMsFNhR1H04P1K5Fxk6S8K0zfyce1i1rKf6MR

Pertemuan diadakan antara pegawai MFL dan pengurusan Sri Pahang FC. — Sri Pahang FC

"Kalau dah datang ke pejabat tu dapat terus lah lesen AFC. Tahun ini no 2 liga dan juara Piala FA," kata Mustapa Kamal Kassim.

"Nampak gaya lulus je lesen AFC. Kena menang la semua game," ujar Raimi Hawazi.

"Molek dah buat tu. Tahun depan nak kena main ACL," tulis Muhammad Firol Izwan.

Dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA 2023, Sri Pahang FC berjaya menewaskan Perak FC 2-1 dalam aksi yang berlangsung pada 8 Mac lalu dan bakal bertemu Selangor FC dalam peringkat 16 pasukan terakhir.

Pahang pernah memenangi piala itu sebanyak tiga kali dan kali terakhir merangkulnya pada 2006.

Kelab yang memenangi Piala FA akan secara automatik layak untuk bersaing di Piala AFC pada musim seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram