KEPUTUSAN untuk berhijrah ke pasukan lain merupakan lumrah dalam bola sepak dan perkara tersebut juga boleh menjadi perkara positif buat pemain yang menginginkan perubahan positif dalam kerjaya.
Antara alasan pemain yang membuat keputusan untuk angkat kaki daripada kelab lama adalah demi mendapatkan cabaran baharu dan memburu minit permainan susulan perlu persaingan sengit di pasukan lama.
Meskipun pada awalnya agar sukar untuk menerima hakikat menyarung jersi lain namun lama-kelamaan seseorang pemain itu akan mudah menyesuaikan diri dalam pasukan baharu dengan bantuan dari rakan-rakan dan pihak kejurulatihan.
Walaupun baru di pusingan awal liga namun beberapa pemain sudah mulai menunjukkan taring masing-masing apabila semakin menyinar bersama pasukan baharu dan ada di antara mereka yang menjadi nadi utama kelab.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang diibaratkan seperti mendapat nafas baharu meskipun mereka hanyalah watak sampingan pada musim 2022:
1) Kpah Sherman (Terengganu FC ke Sri Pahang FC)
Kpah kini merupakan penyerang utama Sri Pahang. — Facebook/SriPahang
Hanya semusim menyarung jersi Terengganu FC (TFC), keputusan Kpah Sherman untuk berhijrah ke Sri Pahang nampaknya membuahkan hasil apabila kini dia merupakan orang kepercayaan pengendali, Fandi Ahmad untuk mengemudi jentera serangan skuad Tok Gajah.
Pada musim 2022, pemain kelahiran Liberia itu hanya merekodkan enam jaringan dan satu hantaran bantuan dalam 14 perlawanan dia diturunkan untuk saingan Liga Super.
Kini bersama Sri Pahang, Kpah sudah mengisi tiga gol dalam akaun jaringan peribadinya dan dua hantaran bantuan meskipun baru mengharungi lima aksi.
Difahamkan, rekod buruknya di Terengganu terjadi disebabkan pemain berusia 31 tahun itu tidak dapat bersaing dengan penyerang utama skuad Penyu, Kipre Tchetche yang merekodkan 13 gol pada musim 2022.
Kpah jelas tidak mensia-siakan peluang yang diberi Fandi selepas kehilangan penyerang Brazil, Lucas Silva dan kini dia merupakan penjaring tertinggi Sri Pahang setakat ini bersama Stefano Brundo.
2) Endrick dos Santos (Penang FC ke Johor Darul Takzim (JDT).
Endrick menjadi 'playmaker' kegemaran Solari. — Facebook/JDT
Pada awalnya, ramai penyokong berpendapat bahawa bintang naturalisasi baharu negara, Endrick dos Santos tidak akan dapat mendapat tempat di JDT dek kerana pilihan pemain yang lebih menyakinkan.
Namun begitu, sangkaan orang ramai itu meleset apabila kini Endrick menjadi antara tonggak utama pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari untuk mengemudi jentera tengah JDT.
Pemain yang dikenali dengan hantaran, gerakan dan larian bijaknya ke dalam kotak penalti itu menjadi kesebelasan utama dalam empat perlawanan dan menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Super.
Sewaktu bersama Penang FC pada musim 2022, pemain berusia 28 tahun itu tidak disenaraikan dalam enam perlawanan dan dia juga hanya merekodkan satu jaringan sahaja buat skuad Harimau Kumbang.
Oleh itu, perubahan ketara Endrick ini berhasil mencuri perhatian pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon dengan memanggilnya kem latihan bagi perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan pada 23 Mac dan Hong Kong (28 Mac) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.
3) Daniel Ting (JDT ke Sabah FC)
Daniel menjadi antara kesebelasan utama Sabah FC musim ini. — Facebook/SabahFC
Berstatus sebagai pemain pinjaman JDT tidak menghalang Daniel Ting memikat hati ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk menurunkannya sebagai kesebelasan utama The Rhinos.
Sepanjang lima perlawanan menyarung jersi Sang Badak, Daniel merupakan bek tengah kegemaran Kim Swee dan sudah mengumpul 394 minit permainan bersama pasukan berpangkalan di Borneo itu.
Selain itu, dia juga mempunyai dua jaringan gol dan dua hantaran bantuan bersama The Rhinos pada musim ini.
Jika dibandingkan dengan musim lepas, Daniel hanya bermain bersama JDT II pada saingan Liga Perdana dań gagal menembusi skuad utama kerana persaingan sengit daripada pemain lain.
Menjadi key player untuk sesebuah kelab merupakan impian seorang pemain bola sepak dan Daniel sudah mendapatkannya bersama Sabah FC pada musim ini.
Jika Daniel kekal konsisten, adalah tidak mustahil jika mengikut jejak langkah pemain tengah Stuart Wilkin yang menjadi pemain tetap Sabah FC walaupun sebelum ini berstatus sebagai pemain pinjaman daripada JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram