PERAK FC mengalami kekalahan kedua dalam saingan Liga Super 2023 pada Khamis lalu selepas mengharungi lima perlawanan pertama musim ini.
Keputusan tewas di tangan Sri Pahang FC 3-0 ketika beraksi di halaman sendiri itu merencatkan momentum pasukan The Bos Gaurus yang baru sahaja mendapat kemenangan sulung dalam perlawanan sebelumnya.
Perkembangan itu meletakkan Perak FC kini berada di tangga ketujuh dengan memperoleh lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua seri yang direkodkan dalam lima aksi pertama.
Meskipun kini masih berada di kelompok pertengahan liga, terdapat suara-suara mula mempertikaikan prestasi ditunjukkan pengendali pasukan, Datuk Lim Teong Kim dalam menetapkan hala tuju pasukan.
Malah ada juga penyokong The Bos Gaurus yang hadir ke stadium ketika perlawanan terakhir tersebut tidak dapat menyembunyikan kekecewaan mereka sehingga menimbulkan insiden panas selepas tamat aksi permainan.
Terdapat dalam kalangan penyokong mula meminta agar pihak pengurusan membuat pertukaran jurulatih bagi menggantikan dengan menggantikan Teong Kim. — Facebook/PerakFC
Menerusi video tular, difahamkan berlaku pertengkaran mulut antara Teong Kim bersama beberapa penyokong Perak FC ketika jurulatih berusia 59 tahun itu tampil mendekati penyokong yang hadir ke stadium pada Khamis lalu.
Malah, Teong Kim yang juga bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) turut didengar meminta penyokong yang dipercayai mengkritiknya itu supaya menggantikannya sebagai jurulatih pasukan.
Pada masa sama, terdapat antara penyokong mula meminta agar pihak pengurusan membuat pertukaran dengan menggantikan jurulatih kelahiran Melaka itu dengan ungakap seperti 'LTK Out'.
Bagaimanapun, terdapat penyokong berpandangan adalah terlalu awal untuk menilai prestasi ditunjukkan oleh Teong Kim dan anak buahnya memandangkan liga masih di peringkat awal.
"Ingat tukar jurulatih automatik power ke? Pasukan baharu, pemain baharu tiba-tiba nak power macam pasukan Johor Darul Takzim. Bagi habis satu musim dulu tengok macam mana," kata ShaifulNizam MohdNoor.
"Kita sebagai fans sepatutnya bukan terus hentam. kaji dan tengok dulu. Tiap jurulatih ada prinsip dan sistemnya.
"Kalau ikut cara dan corak latihan dibuat oleh Teong Kim tak akan timbul apa-apa masalah pun. Tapi cara pemain mengadaptasikan corak permainan itu penting," ujar Haz Hakimi.
Penyokong berpendapat di sebalik kekalaham direkodkan, corak permainan ditunjukkan pasukan kini lebih seronok untuk ditonton, malah lebih baik daripada musim sebelumnya. — Facebook/PerakFC
Turut bersetuju dengan pandangan tersebut ialah Cek Zu yang menulis, " Perak FC pun masih on track. Dalam carta kita nombor tujuh daripada 14 pasukan.
"Ok la tu bagi pasukan ramai pemain muda. Pasukan lain yang ambil import ramai pun lagi teruk prestasi daripada kita macam Kuala Lumpur (KL) City FC, Terengganu FC, Kelantan United, Negeri Sembilan FC, Penang FC," ujarnya.
Dalam pada itu, Coke Cokecc pula berkata, prestasi Perak FC ketika ini dilihat tidak begitu teruk berbanding pada musim lalu ketika pasukan beraksi dalam saingan Liga Perdana.
"Cuma kita fans nak kemenangan terlalu cepat. Ya, memang fans dah lama rindu kebangkitan pasukan. Dulu hampir setiap musim kita dapat skrip sama. Tapi skrg InsyaALLAH lita pasti berjaya. Perak FC perlukan penyokong," katanya.
"Yang penting perlawanan Perak FC seronok ditonton, banyak pegang bola, tidak ada la main parking bus," ujar Amirul Ashraf Othman.
Dalam perlawanan seterusnya bagi aksi Liga Super 2023, Perak FC akan bertemu Penang FC pada 31 Mac ini di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram