SEJAK diambil alih oleh XOX Pro Sport Sdn Bhd, Perak FC mula menunjukkan membangkitkan selepas pernah terpalit dengan isu kewangan serta pentadbiran.
Namun, ketika ini, mereka dilihat masih mencari-cari rentak terbaik meskipun sudah melakukan perbelanjaan besar-besaran sepanjang jendela perpindahan.
Tambahan pula, penyingkiran mereka daripada kancah Piala FA menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) terpaksa melupakan hasrat untuk menambah koleksi kejuaraan.
Jadi, tidak hairanlah apabila segelintir penyokong mula merindui zaman-zaman kegemilangan pasukan yang pernah mewarnai arena bola sepak tanah air itu.
Kejayaan pasukan tersebut dapat dilihat ketika mereka dilabel sebagai antara pencabar takhta liga dari 2015 hingga 2020 yang mana berlaku sebelum Perak FA terlibat dengan masalah dalaman.
Antara kenangan manis yang pastinya sukar dilupakan rata-rata peminat setia pasukan adalah ketika mereka muncul sebagai juara Piala Malaysia 2018.
Pasukan yang ketika itu dibimbing ketua jurulatih dari Australia, Mehmet Durakovic dilihat cukup lengkap baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
Kualiti yang dimiliki Leandro pasti sukar untuk dicari galang-ganti.
Salah seorang tonggak pasukan ialah pemain tengah import, Leandro dos Santos yang menyertai pasukan berkenaan pada jendela perpindahan 2017.
Di samping tenang melakukan hantaran, dia juga dilihat cukup yakin dalam mengasak serta menggagalkan hantaran pihak lawan setiap kali diturunkan.
Kini, selepas hampir lima musim berbakti buat skuad TBG, penyokong pastinya tertanya-tanya akan ketiadaannya dalam dunia bola sepak dengan dia meninggalkan pasukan tersebut ketika mereka tersingkir ke kancah Liga Perdana pada 2021.
Baru-baru ini, pemain kelahiran Brazil itu dilihat dengan sengaja menghidupkan semula kenangan ketika dia masih bersama Perak FC.
Menerusi satu hantaran di Insta Story miliknya, Leandro memuat naik semula satu rakaman ketika dia bersama keluarganya sedang berehat di sebuah hotel yang difahamkan sekitar Perak.
Perkara itu dikongsikan laman penyokong Perak menerusi akaun Facebook, Perak F.C Supporters yang juga sempat bertanya perkembangan pemain berusia 36 tahun itu.
"Hi bro, saya sudah bersara. Saya hanya meluangkan dan menikmati masa bersama keluarga," jawab Leandro.
Hantaran berkenaan dilihat berjaya menarik perhatian rata-rata penyokong TBG yang cukup tertarik dengan gaya permainannya satu ketika dahulu.
"Dia cukup berkualiti dari segi mental dan kemampuan sebagai seorang pemain tengah bertahan sebagaimana yang disebutkan oleh pengulas dahulu," kata Azzam Hidzer.
"Dia hati kering dan suka membuatkan pihak lawan panas baran dengan sikapnya di atas padang supaya memaksa pemain lain untuk melakukan kesalahan," kata Zul Hazizi Mustafa.
Selain Perak FC, Leandro juga pernah menikmati tahun-tahun bermakna dalam Liga Malaysia apabila pernah mewakili Selangor FA dan T-Team. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram