KEDAH Darul Aman (KDA) FC pastinya boleh menarik nafas lega apabila mereka berada di kedudukan ketiga Liga Super selepas memulakan musim dengan prestasi kurang meyakinkan.
Penyingkiran awal dari saingan Piala FA menjadi topik perbualan hangat penyokong bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi selepas mereka baru sahaja tewas di tangan PDRM FC dalam liga.
Bagaimanapun, mereka segera bangkit dengan mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ketika berdepan Kelantan United dan Kuching City FC baru-baru ini.
Kini, dengan Liga Super dihentikan sementara, pihak kejurulatihan pastinya mengambil peluang berkenaan untuk mengenal pasti kelemahan dalam pasukan.
Salah satu perkara yang pastinya diberi perhatian adalah posisi tengah dengan mereka sepertinya gagal merangka serangan, lebih-lebih lagi ketika berdepan skuad Sang Saka Biru.
Meskipun pasukan Utara tanah air itu sudah membawa masuk pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott, masih terdapat pelbagai isu yang perlu ditambah baik.
Jadi, dalam usaha membaiki masalah tersebut, penyokong mula menyuarakan pendapat mereka untuk melakukan perancangan sebelum jendela perpindahan kedua Liga Super pada Julai.
Habib merupakan tonggak utama skuad Sang Penyu sejak menyertai pasukan itu pada 2021. — Facebook/Terengganu FC
Salah satu nama yang mula dipetik di media sosial ialah tonggak Terengganu FC, Habib Haroon dengan nama pemain tersebut tidak perlu lagi diperkenalkan.
Sejak menyertai skuad Sang Penyu pada 2021, dia tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rentak bersama pasukan dengan kemampuannya untuk melakukan hantaran jauh terus diberikan pujian.
Tidak cukup dengan itu, pemain berusia 22 tahun berkenaan juga mahir dalam mematahkan gerakan pihak lawan menerusi kemampuannya untuk membaca rancangan mereka.
Pandangan tersebut dikongsikan penyokong Terengganu FC, Conform King yang berhasrat untuk melihat kelibat pemain tengah itu di Stadium Darul Aman, Kedah.
"Khabar angin mengatakan Habib Haroon dalam radar KDA FC bagi mengemaskan lagi bahagian tengah bersama Manuel Ott," katanya.
Walaupun ia sekadar satu usikan di media sosial, peminat setia Sang Penyu dilihat cukup tertarik dengan pandangan yang diberikan itu.
"Jika Kedah benar-benar sanggup untuk menebus kontrak dengan bayaran sewajarnya, OK je rasanya. Biarlah dia pergi pasukan yang lebih baik," kata Muhammad Ridzwan.
Habib memulakan kempen Liga Super 2023 dengan langkah kiri apabila dia berdepan masalah kecederaan yang memaksanya untuk menangguh penampilannya bersama pasukan.
Ia sedikit sebanyak menjadi antara sebab Terengganu FC berada dalam krisis dengan mereka ketika ini berada di kedudukan kesembilan dengan hanya empat mata dikumpul selepas lima perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram