KEHILANGAN tempat dalam kesebelasan utama bersama Johor Darul Takzim (JDT) menyaksikan pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid meninggalkan pasukan itu secara pinjaman.
Meskipun berbulan-bulan terpalit dengan khabar angin, bekas pemain T-Team itu memilih untuk berada dalam suasana berbeza dengan menyertai kelab Thailand, Ratchaburi FC.
Keputusan itu dilihat membawa kelebihan buat pemain berusia 26 tahun berkenaan yang mana dia terus diberikan kepercayaan untuk beraksi bersama rakan sepasukan.
Setakat ini, khidmat Safawi semakin ditagih ketua jurulatih skuad The Dragons, Xavi Moro apabila pemain berkenaan sudah mengumpul lapan penampilan Liga 1 Thailand.
Lebih membanggakan lagi, keyakinannya di atas padang semakin membuahkan hasil apabila dia membantu pasukannya membawa pulang tiga mata dengan menjaringkan gol sulungnya ketika Ratchaburi berdepan Chonburi FC.
Jaringan semasa penghujung separuh masa pertama itu jelas mengukir senyuman di wajah Safawi yang pastinya sudah terlalu lama menunggu untuk mendapatkan jaringannya bersama pasukan.
Safawi dilihat cukup gembira untuk menjaringkan gol pertamanya bersama Ratchaburi FC. — Facebook/Vocket FC
Kemenangan itu membantu skuad The Dragons memintas Chonburi FC dalam usaha mereka untuk kembali ke pentas Asia dengan mereka terikat dengan pasukan di tangga keempat, Muangthong United.
Lebih mengharukan lagi, jaringan itu sedikit sebanyak melegakan hati pemain kelahiran Dungun, Terengganu tersebut yang digugurkan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk aksi persahabatan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penyokong bola sepak tanah air berharap agar Safawi kembali bangkit untuk melayakkannya berada dalam Harimau Malaya.
"Walaupun saya nampak jaringan itu berbentuk paksaan, ia masih merupakan satu gol. Tahniah dan terus usaha lagi. Sudah terlalu lama saya merindukan seorang pemain sayap lincah dalam pasukan kebangsaan," kata Jason Kng.
"Dapat minit permainan tetapi tidak dipanggil bermain untuk skuad Harimau Malaya. Ketika tidak dapat bermain, boleh pula dia dipanggil," kata Muhammad Redhauddin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram