'Rome is not built in a day', Azraai tampil pertahan anak didik


  • Podium
  • Selasa, 14 Mac 2023

Azraai mengingatkan penyokong supaya tidak terlalu terburu-buru untuk mencapai kejayaan. — Facebook/Kedah FA

SELEPAS memulakan kempen Liga Super dengan cukup baik, Kedah Darul Aman (KDA) FC berdepan kesukaran untuk meneruskan momentum berkenaan apabila tewas di tangan PDRM FC.

Kekalahan 0-1 yang dicatatkan di Stadium Darul Aman, Kedah itu menimbulkan pelbagai respons kurang senang daripada ramai pihak yang mula memberi tekanan terhadap pasukan utara tanah air tersebut.

Lebih membimbangkan lagi, dua watak utama kelab, iaitu Nafuzi Zain dan Manuel Ott dilayangkan kad merah dalam perlawanan yang menjadi satu isu hangat diperkatakan.

Prestasi mengecewakan itu diteruskan apabila skuad Sang Kenari tersingkir daripada saingan Piala FA 2023 di tangan Penang FC 8 Mac lalu.

Meskipun mereka hanya tersingkir menerusi sepakan penalti, ia tidak menghalang penyokong Hijau Kuning daripada terus meluahkan kekecewaan di media sosial.

1960293

Adakah Nafuzi merupakan calon terbaik untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Kedah? Facebook/KDA FC

Antara pihak yang menjadi sasaran peminat setia pasukan ialah Nafuzi yang dilantik sebagai ketua jurulatih selepas membina reputasinya dengan cukup baik bersama Terengganu FC.

Bagi segelintir penyokong, mereka mula berasakan keputusan pihak pengurusan untuk membawa masuk pengendali kelahiran Kelantan itu adalah kurang sesuai dengan gaya permainan pasukan.

Dalam usaha menenangkan rasa kurang senang penyokong, pengendali legenda kelab, Azraai Khor Abdullah tampil mempertahankan bekas anak didiknya itu.

"Bandar Rom tidak dibina dalam masa sehari, fans perlu sabar dengan perancangan coach Nafuzi. Bukan senang nak dapat keserasian antara pemain-pemain dalam beberapa perlawanan.

"Beri masa dahulu untuk dia lakukan yang terbaik demi pasukan kita. Saya dulu pun memerlukan dua tahun untuk menang Liga Premier untuk kembali ke Liga Super dan terus menjuarai 'double treble' pada 2007 dan 2008," katanya.

1922694

Zaman kegemilangan Kedah FA berpunca daripada kehadiran Nafuzi dan Azraai Khor.

Perkara tersebut dilaungkan jurulatih berusia 70 tahun itu menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya yang sudah semestinya menerima pelbagai respons daripada penyokong Hijau Kuning.

"Betul tu coach Azraai, kerana kota Rom tidak dibina dalam sehari. Memang akan ada kesilapan dan kelemahan dalam mencari kekuatan.

"Jika tahun 2022 Kedah berada posisi kelapan, tahun 2023 dengan kedudukan lima teratas adalah sasaran yang munasabah dan jika lebih dari itu adalah bonus," kata Nadim Arisha.

"Kepada penyokong di luar sana, fahamlah betul-betul apa yang jurulatih 'double treble' cakap, jangan jadi budak-budak sampai tak boleh nak berfikir dengan matang," kata Roman Jelatan.

"Trust the process, bagi masa untuk Nafuzi membangunkan kesemua pemain yang dia miliki untuk pastikan mereka lebih serasi, memahami tugasan masing-masing dan bergerak sebagai satu pasukan," kata Hafizzudin Salleh.

Azraai sememangnya merupakan satu figura penting ketika zaman kegemilangan Kedah FA apabila dia menjadikan pasukan itu cukup digeruni kelab-kelab lain.

Salah seorang daripada pemainnya ketika itu ialah Nafuzi yang merupakan pemain muda, namun jarang diturunkan dengan dia difahamkan dibelenggu dengan isu kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram