LUKA penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas kekalahan di tangan Penang FC pada pusingan pertama Piala FA 2023 hanya dapat sembuh dengan hadiah kemenangan bertemu Kelantan United dalam aksi Liga Super di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin depan.
Mengimbau semula perlawanan lalu, skuad Sang Kenari tersingkir menerusi sepakan penalti 4-3 selepas terikat 2-2 pada masa sebenar di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.
Meskipun tewas, pengendali KDA FC, Nafuzi Zain mengakui corak permainan yang ditonjolkan pada perlawanan itu adalah lebih baik daripada beberapa perlawanan sebelum ini.
Perkara itu dapat dibuktikan melalui persembahan para pemain pada separuh masa kedua dan ia boleh dianggap sebagai aksi terbaik yang pernah disajikan oleh anak-anak buah Nafuzi.
Penyokong Kedah, Budak Bendang berkata, salah satu pemain yang mendapat pujian adalah ketua pasukan, Manuel Ott kerana sepanjang aksi tersebut tonggak import dari Filipina tu berada dikelasnya tersendiri dengan mengawal tengah dan menjaringkan dua gol.
Selain daripada aksi cemerlang arkitek Sang Kenari tersebut, pada perlawanan Piala FA itu juga sekurang-kurangnya pasukan Hijau Kuning berhasil membuat dua situasi satu lawan satu yang mana membuktikan jentera tengah Kedah semakin mendapat rentak.
Kedah menjalani latihan persiapan bagi aksi menentang Kelantan United. — Facebook/KDAFC
Situasi tersebut dapat dilihat sewaktu Manuel Hidalgo nyaris jaringkan gol ketiga Kedah dan ketika palang gol menjadi penyelamat Penang apabila menafikan tandukan Jonathan Balotelli.
"Dalam beberapa perlawanan ini, jentera serangan KDA FC sahaja dilihat bermasalah ketika ini namun saya percaya penyerang import, Willian Lira hanya memerlukan sedikit masa untuk membuktikan keupayaannya bagi mencetak gol.
"Apa yang perlu dilakukan oleh pemain dari Brazil itu ialah dia perlu ketepikan tekanan dan ketenangan adalah kunci ketika berada dihadapan pintu gol," katanya.
Pada masa sama, Budak Bendang juga mahu semua ppeminat lupakan sekejap masalah penyudah yang tumpul, memandangkan peningkatan stamina para pemain Sang Kenari layak mendapat pujian daripada pemain ke-12.
Pada masa tambahan, katanya, pemain Hijau Kuning tidak henti-henti untuk terus melakukan serangan dan berlari tanpa mengenal erti penat serta putus asa.
"Jika dibandingan pada musim lalu, kebiasaannya pada minit ke-70 para pemain mulai penat untuk mengejar bola dan semua kelihatan tiada tenaga untuk beraksi.
"Oleh itu, dengan peningkatan yang ditonjolkan dari perlawanan ke perlawanan lain, penulis yakin bahawa Lira yang akan mengemudi jentera serangan dan pemain lain mampu memberi keputusan positif pada aksi menentang Kelantan United di Kota Bharu nanti.
"Apa-apapun diharapkan para pemain dapat kekalkan momentum dan memberi tumpuan pada perlawanan seterusnya. Pulun Kedah Pulun," laungnya bersemangat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram