Lucas Silva cedera sebelum debut, fans Tok Gajah risau badi kembali hantui ‘top scorer’


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mac 2023

Kpah sekadar menjaringkan satu gol buat Sri Pahang FC setakat ini. — Facebook

BELUM sempat melakukan sebarang penampilan bersama pasukan baharunya, Sri Pahang FC di Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Lucas Espindola da Silva kini dilaporkan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan yang dialaminya.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhemi Zainal Azam, Sri Pahang FC terpaksa melupakan hasrat menggunakan khidmat pemain import itu untuk tempoh beberapa bulan akibat kecederaan lutut.

Bagaimanapun tiada butiran terperinci mengenai kecederaan yang dialami Lucas dikongsi oleh skuad Tok Gajah setakat ini.

Ia bermakna, Sri Pahang kini hanya mempunyai Kpah Sherman sebagai penyerang import yang bakal merobek gawang gol lawan.

lucas silva

Selain Kpah, pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero yang juga kapten pasukan akan menjadi harapan Sri Pahang musim ini.

Begitupun, ada kebimbangan disuarakan sebahagian penyokong yang khuatir sentuhan Kpah kurang menjadi berbanding sewaktu aksinya ketika di Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Ini kerana penjaring terbanyak Piala Malaysia 2022 itu ketiadaan side-kick seperti peranan dimainkan oleh Tchetche Kipre (kini di KL City FC) untuk membantunya mencetak gol.

Ada penyokong khuatir Kpah yang sering bermain sebagai target man, kurang menyengat di atas padang jika tugas di jentera serangan perlu dilaksanakan tanpa pemain yang memiliki mobiliti seperti Kipre.

Setakat ini, Kpah hanya membantu menyumbat satu gol buat Sri Pahang ketika aksi menentang Kelantan, manakala Stefano Brundo menjadi penjaring terbanyak dengan tiga gol termasuk satu gol dalam aksi Piala FA menentang Perak FC.

kpah-tchetche

Gandingan Kpah (kiri) dan Kipre amat digeruni ketika kedua-dua beraksi di Terengganu FC. — Facebook

Penyerang lain, Abdul Malik Mat Ariff dengan dua koleksi gol termasuk satu di Piala FA manakala Kevin Ingreso dan Aguero masing-masing satu gol di saingan Liga Super.

Digelar sebagai mesin gol Penang, Lucas menghasilkan 11 jaringan daripada 15 penampilan bersama skuad Harimau Kumbang dalam semua pertandingan pada musim lalu.

Sri Pahang akan melayan kunjungan Sabah FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Ahad.

Selepas tiga perlawanan pada musim ini, Sri Pahang menduduki tangga ke-5 Liga Super dengan lima mata hasil satu kemenangan dan dua kali seri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram