Adam Farhan ada 'wow factor' ikut jejak Arif Aiman


  • Podium
  • Isnin, 14 Nov 2022

Adam Farhan bermain di posisi pertahanan kiri dan dilihat sebagai prospek masa depan cerah JDT di posisi kritikal tersebut. — Facebook

PERLAWANAN pemanas badan antarabangsa melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) dan pasukan dari Indonesia, Persis Solo di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor berkesudahan dengan terikat seri 1-1.

Di sebalik aksi antara kedua-dua pasukan, penyokong JDT tertumpu kepada kelincahan pemain muda, Adam Farhan Mohd Faizal yang cukup laju namun tenang mengawal bola.

Biarpun diasak pemain Persis Solo dari segala sudut, dia dilihat pantas berlari selain bijak membuat gerakan hingga aksi menjadi buah mulut dalam kalangan penyokong hingga menenggelamkan nama-nama besar lain seperti Guilherme De Paula, Daniel Ting malah Jordi Amat.

Rata-rata penyokong JDT menyifatkan pemain muda itu cukup berkeyakinan dan memiliki kualiti tinggi untuk menjadi pelapis dalam skuad senior Harimau Selatan.

Laman penyokong JOHORean Sport Team menyifatkan Adam Farhan antara pemain muda yang berbakat besar dalam kancah bola sepak tempatan.

"Jika diberi pendedahan bersama skuad utama JDT, tidak mustahil Adam Farhan akan mengikut jejak langkah seperti Arif Aiman," tulisnya.

Laman JDTFC pula menganggap perlawanan persahabatan dengan Persis Solo memberikan pendedahan yang baik buat pemain berusia 18 tahun itu.

Sementara itu, seorang penyokong, Muhd Riduan berpendapat, Adam Farhan mungkin antara tiga pemain dari skuad kedua yang akan dinaikkan pangkat ke skuad utama JDT seperti yang dimaklumkan Pengarah Teknikal pasukan, Alistair Edwards baru-baru ini.

"Alistair dah bagi tahu ada tiga pemain dari JDT II yang akan naik (skuad utama). Nampak macam dah tahu siapa," katanya.

314072823_2440595606103724_3169543724839560041_n

Adam Farhan memiliki harapan beraksi di skuad utama Harimau Selatan. — Facebook

Seorang lagi penyokong, Din Yahya juga berasakan Adam Farhan memiliki harapan beraksi di skuad utama Harimau Selatan.

Sementara itu, Aiman Alif pula menyifatkan gandingan Adam Farhan dengan bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi di bahagian sayap akan menambah bisa skuad kendalian Hector Bidoglio itu.

"Adam farhan kiri, Arif Aiman kanan...pergh," tulisnya.

Untuk rekod, Adam Farhan membuat penampilan sulung dalam skuad senior ketika perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia 2022 antara JDT dan Kelantan di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat (11 November 2022).

Adam Farhan bermain di posisi pertahanan kiri dan beliau dilihat sebagai prospek masa depan cerah JDT di posisi kritikal tersebut.

Aksi perlawanan bertemu Persis Solo itu pula merupakan aksi persahabatan antarabangsa bagi memberi ruang buat pemain JDT meraih minit permainan.

JDT bakal bertemu Sabah pada 15 November ini di Stadium Likas untuk perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram