PENYINGKIRAN awal yang dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC di tangan Penang FC Rabu lalu mengundang pelbagai komen daripada peminat setia bola sepak tanah air.
Meskipun perbelanjaan besar-besaran dibuat sepanjang jendela perpindahan, skuad Sang Kenari dikatakan masih mencari rentak terbaik di atas padang.
Tambahan pula, kehadiran ketua jurulatih berpengaruh, Nafuzi Zain juga dilihat masih belum menyuntik semangat seperti mana ketika dia mengendalikan Terengganu FC musim lalu.
Bagi menyelesaikan perkara itu, penyokong Hijau Kuning mendesak pihak pengurusan untuk melakukan perancangan sebelum jendela perpindahan kedua dibuka Julai nanti.
Antara perkara yang wajar diberi perhatian adalah benteng pertahanan apabila pihak lawan terlalu mudah melakukan percubaan terhadap gawang gol KDA FC.
Perkara itu dapat dilihat selepas Penang FC tidak perlu bertungkus-lumus untuk menjaringkan dua gol dalam aksi Piala FA berkenaan.
Jadi, dalam usaha menambah baik kemampuan pasukan, mereka pastinya mencari solusi terbaik dengan membawa masuk pemain baharu.
De Murga masih mencari rentak terbaik bersama skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Berdasarkan khabar angin di media sosial, Nafuzi dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan Kelantan FC, Carli de Murga.
Ura-ura tersebut disampaikan penyokong bola sepak tempatan, Jay Thai yang mengatakan kedua-dua pihak tersebut berminat untuk bergandingan sekali lagi.
"Nafuzi Zain dikhabarkan berminat dapatkan de Murga yang merupakan bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) yang ketika ini berada di Kelantan FC," dakwanya.
Sebelum ini, Nafuzi dan pemain kebangsaan Filipina itu pernah bekerjasama ketika berada di Terengganu FC yang mana pemain itu turut beraksi sebagai kapten pasukan.
Setakat ini, bek tengah tersebut hanya diturunkan dalam satu perlawanan apabila membantu skuad The Red Warriors (TRW) menundukkan Penang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram