Bukan saja Willian Lira, fans Hijau Kuning juga mahu bekas tonggak Sri Pahang 'direhatkan'


  • Podium
  • Khamis, 09 Mac 2023

Willian Lira (kiri) masih bergelut untuk memberi impak terbaik bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

KEKECEWAAN pastinya masih dirasai rata-rata penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC yang terpaksa menyaksikan penyingkiran awal pasukan tersebut daripada saingan Piala FA 2023.

Keputusan 2-2 yang dicatatkan selepas 120 minit permainan di Stadium Darul Aman, Kedah berdepan Penang FC mengheret kedua-dua pasukan ke penentuan sepakan penalti.

Namun, tekanan yang dirasakan pemain skuad Sang Kenari sedikit sebanyak menyebabkan mereka terpaksa akur menyaksikan seteru Utara tanah air mereka mara ke peringkat seterusnya dengan kemenangan 4-3.

Pelbagai perkara mula dibincangkan penyokong Hijau Kuning menerusi media sosial dengan ada yang mula bertanya-tanya akan kemampuan sebenar pasukan berkenaan musim ini.

Manakan tidak, prestasi yang memberangsangkan sepanjang tempoh pramusim menjadikan KDA FC sebagai antara pencabar kepada takhta Liga Super.

334425637_121912257338470_3122515625653814950_n

Pelbagai isu hangat mula dibincangkan penyokong Hijau Kuning. Facebook/KDA FC

Tetapi, dengan penyingkiran daripada Piala FA, ia seakan-akan membuktikan masih banyak isu yang perlu diperbaiki, baik di dalam mahupun luar padang.

Antara perkara awal yang menjadi perhatian ramai pihak adalah ketumpulan jentera serangan dengan pemain import dari Brazil, Willian Lira masih bergelut.

Setakat ini, dia hanya berjaya mencetak satu gol Liga Super yang berpunca daripada sepakan penalti ketika perlawanan pertama menentang Perak FC.

Bagaimanapun, rentak dan momentum tersebut terhenti setakat itu sehingga menyebabkan ada di antara peminat setia KDA FC mula mengharapkan barisan kejurulatihan menggugurkannya selepas ini.

Namun, apa yang mengejutkan adalah beberapa cadangan daripada penyokong mengatakan pemain tengah, Lee Tuck juga perlu direhatkan ketika perlawanan keempat Liga Super berdepan Kelantan United FC.

Dalam tiga perlawanan liga setakat ini, pemain naturaliasi itu diberi kepercayaan daripada ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk mengendalikan pasukan dengan ketangkasannya yang cukup terkenal.

334665356_758818552188913_526457017383235766_n

Usia Lee Tuck yang semakin lanjut memberi impak terhadap kemampuannya. Facebook/KDA FC

Malah, sentuhannya di hadapan pintu gol juga tidaklah mengecewakan apabila dia turut menyumbang satu gol ketika KDA FC menundukkan Perak FC.

Tetapi, dengan usianya yang semakin lanjut, rentak permainan Lee Tuck semakin menimbulkan rasa kurang senang apabila dia terlalu mudah kehilangan bola dan melakukan kesilapan.

"Lee Tuck tu bagilah juga dia rehat pula walaupun dia cukup bersemangat untuk bermain di mana-mana posisi," kata Apai Salui.

"Pada saya, dia tidak perlu dikeluarkan cuma boleh dimasukkan sebagai pemain gantian sahaja. Mungkin boleh hanya dimasukkan pada separuh masa kedua selepas ini," kata Muhamad Irwan Mt Zafri.

Lee Tuck dibawa masuk ketika jendela perpindahan lalu selepas dia enggan menyambung kontraknya bersama Sri Pahang FC dengan ada laporan mengatakan isu tersebut berpunca daripada permintaan gaji.

Kemasukannya dilihat sesuai dengan perancangan Nafuzi apabila kedua-dua individu tersebut pernah bekerjasama ketika berada di Terengganu FC sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram