'Perlu masa sikit, tak ada sekelip mata menjadi', Nafuzi gembira walaupun Kedah kecundang


  • Podium
  • Khamis, 09 Mac 2023

KDA FC akur dengan kekalahan di tangan Penang FC pada pusingan pertama Piala FA 2023. — Facebook/KDAFC

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd Nafuzi Zain berbangga dengan keseluruhan prestasi yang dipamerkan pemain, meskipun pasukan tewas 3-4 kepada Penang FC pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah pada Rabu.

Mengakui corak permainan yang ditonjolkan pada perlawanan itu adalah lebih baik daripada beberapa perlawanan sebelum ini, beliau berkata, banyak peluang berjaya dicipta Sang Kenari menerusi hantaran cantik pada kebanyakan posisi, namun nasib tidak menyebelahi pasukan.

"Secara keseluruhannya prestasi malam ini saya begitu gembira. Dalam banyak situasi mereka bermain begitu tenang dan keyakinan yang tinggi dari segi pergerakan dan serangan juga menjadi.

"Apa pun kita masih boleh tingkatkan lagi prestasi pemain kerana dalam bola sepak ini, perlu masa sikitlah, tak akan ada yang sekelip mata kita terus menjadi,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan itu.

WhatsApp Image 2023-03-09 at 12.46.09

Nafuzi berkata, corak permainan yang ditonjolkan pada aksi Derbi Utara itu adalah lebih baik daripada beberapa perlawanan sebelum ini. — Facebook/KDAFC

Pada perlawanan itu, tuan rumah tewas kepada Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan masa tambahan.

Susulan kekalahan itu, Mohd Nafuzi memohon maaf kepada penyokong kerana pasukan telah tersingkir daripada saingan Piala FA.

"Saya anggap ini adalah proses untuk kita belajar daripada kesilapan dan kita tahu pembentukan pasukan ini masih baharu, jadi banyak benda nak kena lihat dalam proses memantapkan player.

"Kini kita boleh memberi fokus sepenuhnya kepada saingan Liga Super dan Piala Malaysia. Saya minta maaf kepada penyokong, tetapi kita dah cuba yang terbaik, penyokong pun dapat nampak kita punya corak permainanan dari awal sampai 120 minit,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram