PRESTASI kurang memberangsangkan Terengganu FC (TFC) pada pembukaan musim Liga Super 2023 sememangnya membuatkan ramai penyokong skuad Sang Penyu resah.
Manakan tidak, naib juara Liga Super 2022 itu belum meraih sebarang mata dalam dua perlawanan pertama mereka menentang Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Ini menyaksikan pasukan itu berada di kelompok tercorot liga bersama Kelantan United FC dan Kelantan FC yang turut gagal meraih sebarang mata setakat ini.
Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner terutamanya import baharu pasti berasa tertekan dengan harapan yang diletakkan oleh para penyokong yang mahu mereka beraksi lebih baik daripada pemain musim lepas.
Mungkin kerana berasa tidak puas hati dengan prestasi sesetengah import TFC setakat ini, ada penyokong yang mengambil kesempatan melepaskan geram apabila berdepan dengan mereka.
Itulah situasi yang terjadi apabila seorang lelaki dipercayai penyokong Terengganu FC, menunjukkan sikap biadap apabila mengutuk penyerang import pasukan itu, Ivan Mamut ketika pemain itu sedang membeli-belah di sebuah pasar raya.
Tindakan lelaki tersebut dirakam rakan sekerjanya dan dimuat naik ke TikTok sebelum video berkenaan tular di media sosial selepas dikongsikan akaun Twitter Bola Sepak Terengganu.
Dalam video itu, pekerja tersebut seperti mengejek Ivan dalam loghat Terengganu ketika melayan pemain import yang mahu membeli barang basah di pasar raya berkenaan.
Mereka juga seperti mentertawakan Ivan meskipun penyerang kelahiran Croatia itu tersenyum sepanjang kamera dirakam ke arah mukanya.
Bola Sepak Terengganu dalam ciapannya berkata, sebagai penyokong, mereka sepatutnya kena bagi semangat lagi untuk pemain itu berjaya.
"Ya faham nak kritik tapi bukan dengan cara biadap atau kurang ajar macam ni.
“Mu nok (nak) kritik persembahan dia atas padang, dalam stadium tak apa, tapi off field anda sepatutnya berkawan dengannya, tunjukkan hospitaliti dan budaya orang tempatan yang baik, galakkan dia untuk bekerja lebih keras supaya dia jadi penyerang terbaik TFC," katanya.
Katanya lagi, bukan mudah bagi orang asing untuk membiasakan diri dengan persekitaran, budaya, cuaca dan kawan serta pasukan baharu.
"Ada yang jenis dapat adapt cepat, ambil masa, lambat dan ada yang gagal adapt.
"Hanya sebab dia dok (tak) berapa 'jadi' lagi atas padang, bukan lesen untuk mu buat kurang ajar gitu dengan kata-kata sini yang dia dok pahang (tak faham). Anda tak layak jadi penyokong Terengganu FC," ciapnya lagi.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook menggunakan nama Mohd Hussin mewakili dua individu dalam video berkenaan memohon maaf atas keterlanjuran percakapan dalam video tersebut.
Lelaki itu mendakwa, pekerja pasar raya tersebut hanya memuat naik rakaman di status WhatsApp sebelum ada orang lain memuat naik semula rakaman berkenaan di TikTok.
"Video tu ambil suka-suka sahaja. Ambe (saya) wakil budak dua orang tu. Ambe 'basuh' doh budok-budok tu biasalah harap dimaafkan dan ambe jamin dok akan berulang doh," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram