Lagi mutu pengadilan dipersoal, layangan 2 kad merah aksi Kelantan-Penang bikin liga makin panas


  • Podium
  • Ahad, 05 Mac 2023

Pertembungan cukup hangat disaksikan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Ahad. — Facebook/Penang FC

KELANTAN FC akhirnya menemui rentak dalam Liga Super selepas mencatatkan kemenangan pertama ketika bertemu Penang FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Ahad.

Dalam pertembungan itu, skuad The Red Warriors (TRW) mendahului menerusi jaringan Ismahil Akinade sebelum pemain muda, Fazrul Amir Zaman menggandakan kelebihan.

Meskipun asakan demi asakan cuba direncanakan kedua-dua pihak, keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria.

Namun, apa yang menarik perhatian dalam pertembungan tersebut adalah keputusan untuk melayangkan dua kad merah sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Pemain Kelantan FC, Christian Rontini merupakan yang pertama diarahkan untuk meninggalkan padang selepas mengumpul kad kuning kedua.

Tidak lama selepas itu, penyerang import Penang FC, Soony Saad pula menjadi 'mangsa' selepas Zulkarnian berpendapat dia dengan sengaja menyiku pihak lawan.

Seperti diramal, keputusan tersebut pastinya hangat diperkatakan penyokong bola sepak tanah air yang terus mempersoalkan mutu pengadilan Liga Malaysia.

"Baru sahaja permulaan liga sudah ada kira-kira tiga kad merah dilayangkan. Tambah lagi dengan perlawanan antara Kelantan FC dan Penang FC ni. Adakah pengadil diberikan anugerah berdasarkan kad yang diberikan?" soal Huzaimi Hassan, berseloroh.

"Perlawanan yang cukup baik, ada beberapa insiden yang menyaksikan kad merah dilayangkan, barulah tidak bosan untuk ditonton," kata dvxtzat.

"Pada saya, pengadil ini sudah tidak patut berada dalam komuniti pengadil. Macam mana baru dua perlawanan diadili, sudah empat kad merah dilayangkan?" soal Danial Mount 19.

Sebelum ini, insiden kad merah turut menjadi bahan bualan ketika pertemuan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan PDRM FC sehingga menyaksikan penyokong Hijau Kuning cuba untuk bertemu dengan pengadil perlawanan secara bersemuka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram