Cubaan selamatkan anak saudara berakhir tragedi, budak 12 tahun dikhuatiri lemas di Bachok


  • 112
  • Ahad, 05 Mac 2023

Anggota APM Kelantan melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas i Pantai Kemayan pada Ahad. — Facebook/APM

SEORANG kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya yang tergelincir di Pantai Kemayan, Bachok, Kelantan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi, mangsa Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, belum ditemukan selepas cuba menyelamatkan Muhammad Nabil Irfan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir dari benteng batu di pantai terbabit.

"Ketika kejadian, Muhammad Nabil dipercayai tergelincir jatuh ke laut dan melihat situasi itu Ahmad Fadhlullah dan kakaknya Nurul Afiqah, 19, terjun untuk menyelamatkan mangsa.

"Bagaimanapun, Muhammad Nabil akhirnya dapat diselamatkan tetapi Ahmad Fadhlullah hilang dibawa ombak besar," katanya ketika dihubungi pada Ahad

Mohamad Ismail berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram