Fans anggap Bos Zam beri amaran keras, team jurulatih TRW perlu bukti 'sesuatu' ketika berdepan Penang FC


  • Podium
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Norizam pastinya mendesak perubahan drastik dilakukan bagi menambah baik kemampuan Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan FC

SELEPAS dua aksi Liga Super, Kelantan FC berada di kedudukan tercorot rentetan daripada kekalahan yang dialami di tangan Kuching City FC dan Sri Pahang FC.

Enam gol yang dibolosi dalam dua perlawanan itu menunjukkan terdapat pelbagai perkara perlu diperbaiki menjelang satu musim yang semakin mencabar.

Bagi segelintir penyokong, mereka tidak mahu membuat penilaian terlalu awal, lebih-lebih lagi sebilangan besar pemain masih belum mendapatkan rentak terbaik di atas padang.

Namun, pandangan tersebut seakan-akan kurang dipersetujui peminat setia The Red Warrior (TRW) yang sepertinya tidak berpuas hati dengan perancangan kelab.

Berdasarkan tinjauan di ruangan media sosial, mereka berpendapat keputusan untuk melantik jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik adalah tidak tepat dengan cabaran untuknya berkomunikasi bersama pemain.

Lebih teruk lagi, ada juga yang mula berasakan pengendali berusia 52 tahun itu perlu digugurkan daripada tugasnya serta- merta bagi mengelak prestasi mengecewakan itu berterusan.

Pendirian tersebut juga seperti dirasakan pemilik kelab, Norizam Tukiman yang mula mendesak perubahan drastik dilakukan, bermula dengan aksi menentang Penang FC.

334056042_1412190556257976_7324648902613098675_n

Kelantan FC masih memburu kemenangan pertama mereka dalam Liga Super musim ini. Facebook/TRW Kelantan FC

"Saya harap barisan kejurulatihan perbaiki kesilapan yang ada untuk buktikan sesuatu pada perlawanan ketiga di tempat sendiri pada esok (Ahad)," tulisnya di Facebook.

Luahan tersebut seperti membuktikan kekecewaan usahawan kelahiran Johor itu yang sememangnya cukup bersemangat dalam menghidupkan semula zaman kegemilangan Kelantan FC.

Ia dapat disaksikan sepanjang jendela perpindahan lalu apabila skuad TRW menerima kehadiran beberapa import baharu bagi meningkatkan kemampuan pasukan.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengikut setia kelab Pantai Timur itu bersetuju dengan pandangan yang diberikan Norizam itu.

"Dari status Bos Zam (Norizam) itu, saya nampak ia seakan-akan satu amaran keras. Pemain perlulah beraksi dengan penuh dedikasi dan bijak, kita sebagai penyokong perlu bersabar dahulu," kata Rudy AR.

"Insya-ALLAH kita boleh mencatatkan kemenangan kali ini sekiranya kesilapan yang dilakukan dapat diperbaiki di samping meningkatkan corak permainan," kata N'din Yaman.

"Yakin boleh dengan usaha yang ditunjukkan pemain di atas padang. Harap-harap mereka juga tidak takut untuk keluar daripada zon selesa masing-masing," kata Azman Alias.

Musim lalu, Kelantan FC merekodkan satu musim yang cemerlang apabila menduduki kedua Liga Perdana di samping mencatatkan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Perlawanan menentang Penang FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pastinya membuka ruang kepada skuad TRW untuk menambah baik kedudukan apabila mereka juga masih memburu kemenangan pertama musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram