Debut memukau Sikh Izhan bikin ada yang risau isu Syihan berulang


  • Podium
  • Isnin, 27 Feb 2023

Sikh Izhan beraksi dengan cemerlang dalam penampilan sulungnya buat skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC

JENDELA perpindahan yang lalu menyaksikan Negeri Sembilan FC kehilangan beberapa tonggak pertahanan selepas masing-masing enggan menyambung kontrak bersama kelab.

Antara pemain yang mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad Jang ialah penjaga gawang, Ahmad Syihan Hazmi untuk membolehkannya menyertai juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

Kehilangannya itu dijangka memberi kesan besar terhadap benteng pertahanan apabila dia merekodkan tujuh 'clean sheet' dalam 22 penampilan Liga Super musim lepas.

Tambahan pula, kecemerlangan pemain kelahiran Kelantan itu menyaksikannya dipilih sebagai penjaga gol terbaik ketika Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022.

Jadi, tidak timbul sebarang persoalan mengenai tanda tanya yang timbul dalam kalangan penyokong Negeri Sembilan FC dalam mencari pengganti buat Syihan.

Syihan-NSFC

Syihan beraksi dengan cemerlang ketika menyarung jersi Negeri Sembilan FC musim lalu. Facebook/Negeri Sembilan FC

Dalam menjawab perkara itu, pihak pengurusan skuad Jang memilih untuk mendapatkan khidmat penjaga gol muda Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman secara pinjaman.

Pemain yang sebelum ini pernah menimba pengalaman bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) menimbulkan 1,001 persepsi daripada penyokong pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, dalam penampilan sulungnya dalam Liga Super, pemain berusia 20 tahun itu dilihat cukup mengagumkan ketika bertemu Sri Pahang FC.

Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan itu, Sikh Izhan beraksi cemerlang dengan menepis percubaan demi percubaan pihak lawan.

Tidak cukup dengan itu, anak jati Seberang Jaya, Pulau Pinang berkenaan juga dilihat tenang dalam melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan.

WhatsApp Image 2023-02-27 at 14.54.01

Kegagalan mendapatkan minit permainan dengan kerap memaksa Sikh Izhan meninggalkan Selangor FC secara pinjaman. Facebook/Selangor FC

Oleh itu, penyokong mula berasakan keputusan untuk membawa masuk penjaga gawang itu adalah tepat bagi menutup ruang besar yang ditinggalkan Syihan.

Lebih menarik lagi, ada juga yang mula berasakan persembahan bertenaga dipamerkan Sikh Izhan bakal menjadi asbab buatnya menyertai sebuah pasukan lebih besar pada 2024.

Usikan itu dibuat penyokong Negeri Sembilan FC menerusi akaun Facebook, Ultras Nogori 9 yang pastinya mengundang pelbagai jenis respons daripada pengguna media sosial.

"Selamat datang ke ... Sikh Izhan pada Januari 2024," tulisnya dengan menyertakan ruangan kosong supaya penyokong lain turut serta memberi ramalan masing-masing.

"Siapa Sikh Izhan, saya tidak kenal. Tetapi, hujung tahun nanti, tahu-tahu sahaja dia sudah menyertai mereka," jawab Abdullah Fahmi menggunakan ayat pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim ketika ditanya mengenai Syihan.

"Awal betul admin ni buat ramalan, macam tahu-tahu sahaja," kata Arif Aiqal.

"Pada saya, Sikh Izhan seolah-olah jelmaan Syihan musim lalu. Bukankah Negeri Sembilan FC sebuah kelab yang kerap menghasilkan penjaga gol berkualiti?" soal Hafizz Yusoff.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan perlu berpuas hati dengan satu mata apabila terikat 1-1 selepas Casagrande dan Malik Mat Arif menjaringkan gol untuk kelab masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram