Tiada kelibat di sesi latihan di Paroi, Sri Pahang sudah jumpa pengganti Lucas Silva?


  • Podium
  • Ahad, 26 Feb 2023

Lucas (dua dari kanan) sepatutnya dilaporkan sebagai penyerang baharu Sri Pahang musim ini. — Facebook/Sri Pahang

SRI Pahang FC yang tidak pernah mencatatkan rekod kemenangan selama tiga musim bagi perlawanan pertama Liga Super tekad untuk memperoleh tiga mata penuh pada aksi sulung menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.

Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad semestinya tidak mahu perkara sama berulang dan akan cuba sehabis untuk memberi saingan sengit kepada pasukan tuan rumah.

Dalam kesibukan pasukan Sri Pahang membuat persiapan perlawanan pertama itu, tiba-tiba timbul khabar angin mengatakan bahawa skuad Tok Gajah membawa masuk seorang pemain import di saat-saat akhir bagi membantu memperkukuhkan pasukan itu.

Difahamkan, pemain yang menjadi bahan bualan penyokong Tok Gajah itu ialah tonggak sayap kanan dari Korea Selatan iaitu Lee Ji-yong.

Pemain yang berusia 24 tahun itu sebelum ini merupakan tonggak jentera serangan pasukan divisyen pertama Liga Korea, Pohang Steeler dan Ji-yong berkhidmat bersama pasukan itu selama dua musim sebelum berstatus tanpa kelab.

Antara kejayaan dikecapi Ji-yong bersama Pohang Steeler adalah dinobatkan sebagai naib johan sewaktu kempen kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas ditumpaskan oleh pasukan Arab Saudi, Al Hilal SFC.

image_6483441

Tangkap layar cantaran dari ejen bola sepak Korea itu.

Meskipun tiada pengumuman rasmi dari Sri Pahang namun ejen bola sepak Korea, Leo Jeong mengesahkan perkara itu di laman Instagram miliknya dengan ucapan terima kasih kepada pasukan Tok Gajah.

“Rasmi 2023. Terima kasih banyak-banyak pasukan Liga Super Malaysia, Pahang FC kerana menandatangani kontrak pemain Korea saya (Lee Ji-yong). Terima kasih kepada bos Sri Pahang FC, pegawai sukan dan kelab peminat,” kongsi ejen tersebut.

Tidak kurang juga ada yang mendawa bahawa kehadiran pemain kebangsaan Korea Selatan itu adalah untuk menggantikan bekas penyerang Penang FC, Lucas Silva.

Hal ini kerana, ramai penyokong sudah mulai mendakwa bahawa pemain import Brazil itu tidak cukup cergas kerana dilanda kecederaan selepas mendakwa tidak melihat kelibatnya di sesi latihan di Paroi.

Namun begitu, Sri Pahang dilihat masih 'mengunci mulut' kerana belum membuat kenyataan rasmi sama ada berhubung kemasukan pemain Korea Selatan itu mahupun isu kecederaan yang melanda Lucas Silva. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram