SKUAD Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0 sekali gus merangkul Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali keenam berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, pada Jumaat.
Dalam perlawanan itu, skuad Harimau Selatan meraih gol menerusi Juan Muniz pada minit kelima dan Bergson da Silva pada minit ke-55.
Pemain bintang sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi turut menjadi perhatian kerana membuat bantuan gol kepada Bergson bagi memastikan kejuaraan skuad Harimau Selatan.
Anak-anak buah Estaban Solari meraikan kejayaan merangkul Piala Sumbangsih itu menerusi satu acara sambutan termasuk penyerahan trofi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 kepada para pemenang.
Pada acara sambutan itu, pemain sayap JDT, Akhyar Rashid yang sememangnya terkenal dengan kenakalannya di atas padang menggamatkan stadium menerusi aksi break dance di samping Bergson.
Di sebalik keterujaan penyokong melihat gelagat Akhyar, ada yang menyatakan rasa bimbang kerana pemain muda itu nampaknya masih belum berjaya menembusi kesebelasan utama JDT untuk musim ini.
JDT sebagai kelab berprestasi tinggi, slogan ‘survival of the fittest’ (keperluan untuk menjadi yang paling cergas) adalah mustahak dan perlu menjadi pegangan pemain untuk berada dalam kesebelasan utama.
Jika awal musim pun sudah duduk di bangku simpanan, penyokong boleh menjangkakan nasib Akhyar mungkin menerima nasib sama seperti musim lalu yang mana dia hanya merekodkan 205 minit masa permainan dengan satu gol menerusi tujuh penampilan.
Akhyar tidak diturunkan sepanjang 90 minit perlawanan antara JDT dan TFC pada Jumaat. — HarimauMalaya
Seorang penyokong, Nizam Izham berpendapat, Akhyar perlu berani keluar dari zon selesa untuk ke pasukan lain bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan.
"Masa team lama kerap lekat main team utama terutama supersub...kerap dpt panggilan skuad kebangsaan bawah 19 tahun, bawah 23 tahun, skuad senior. Ni sekarang umur dah 24 tahun.
"Tak nampak lagi keupayaan maksimum apabila kerap di bangku simpanan. Kalau dia berani keluar dari zon selesa pergi team lain yang memang perlu pemain sayap, boleh pergi jauh lagi prestasi dia.
"Apapun pilihan di tangan dia.. Kumpul duit gaji jangan boros sementara orang nak lagi. Selamat maju jaya Akhyar," katanya.
Jika tidak berpeluang ke kelab lain, Akhyar perlu menggandakan usaha dan perlu menonjol agar mendapat kepercayaan Solari sekali gus menjadi pemain penting untuk setiap perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram