'Macam stail orang tua', fans terbeliak mata kemeja Arif Aiman rupanya cecah ribuan ringgit


  • Podium
  • Isnin, 02 Jan 2023

Arif Aiman (kiri) menggayakan baju kemeja berjenama Fendi yang harganya mencecah RM6,000 sehelai. — Facebook

SELAIN kelincahan beraksi di atas padang, fesyen pemain bola sepak turut menjadi perhatian peminat. Baik daripada gaya rambut hinggalah pemilihan pakaian dan kasut, semuanya menjadi sorotan media.

Dalam kancah bola sepak tempatan, siapa yang tidak kenal dengan bintang muda, Arif Aiman Hanapi yang semakin meningkat naik berikutan prestasi cemerlang di kelab Johor Darul Takzim (JDT).

Penyerang berusia 20 tahun yang mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) bagi dua musim berturut-turut, baru-baru ini mencuri tumpuan peminat bola sepak apabila dia dikatakan tampil dengan fesyen lebih tua daripada usianya.

Menerusi sekeping gambar, Arif Aiman dilihat mengenakan sehelai kemeja lengan pendek berwarna krim dengan cetakan corak huruf 'FF', ketika pulang bercuti di kampung halamannya di Pahang baru-baru ini.

photo1672642469

Akhyar (kiri) dan Nazmi Faiz tampil dengan gaya lebih cool berbanding Arif Aiman. — Facebook

Perkongsian di laman Facebook JDTFC itu kemudian mengundang komen-komen daripada penyokong yang berpendapat gaya itu agak tua untuk Arif Aiman yang masih muda tidak seperti Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz.

Kedua-dua pemain JDT yang lebih berusia daripada Arif dilihat lebih cool dan santai menggayakan t-shirt dan seluar jeans selain turut mengenakan aksesori seperti cincin dan rantai.

"Stail abah-abah ni," komen Firdaus Firdaus.

"Abah-abah stail 42 ni (nombor jersi Arif Aiman)," ujar Nanie Suzani Paimen.

photo1672642329

Kemeja berjenama Fendi yang dijual di laman web e-bay. — Google

Ada juga peminat yang mengusik Arif Aiman dengan mengatakan fesyennya itu seperti wakil rakyat.

"Paling muda tapi paling abah-abah, macam Yang Berhormat (YB) pun ada," kata Ekhsan Diude.

"Walaupun muka dan gaya skema, yang penting di atas padang dia ni lah paling ditakuti semua pihak lawan," kata Fadhil Banunak pula.

Semakan Majoriti menggunakan Google Lens mendapati kemeja yang digayakan Arif Aiman adalah jenama Fendi yang harganya mencecah RM6,000 sehelai.

Carian di laman web Fendi Malaysia juga mendapati kemeja koleksi Forever Bamboo FF Zucca monogram tersebut habis dijual dan hanya boleh didapati di laman web e-bay pada harga AS$1,324.98 (RM5,836.54) bagi baju baharu dan AS$480 (RM2,114.40) (baju terpakai).

Fa3TYCWXkAAIAsn

Arif Aiman memakai jersi bernombor 42 di kelab JDT. — Facebook

Sementara itu, pada foto yang sama, ada juga peminat mengusik cara Arif Aiman duduk dengan posisi tangan kanannya seolah-olah cuba menyorokkan sesuatu.

"Tangan kanan sorok ape tu?," soal Aydeel Haqiem Hannah.

"Arif Aiman sorok (rokok) Winston merah ke tu hahahahahahaa," usik Haziq Ismail.

Khairul Iman Syah Iman pula meninggalkan komen usikan, "Tangan sorok (rokok) John Blend ke tu,"

arif

Nilai pasaran Arif Aiman yang mencecah RM1.83 juta pada musim 2022. — Transfermarkt

Arif Aiman antara pemain muda yang dikenali dengan sikap merendah diri dan sopan dalam kalangan penyokong JDT.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mendedahkan gaji yang dibayar kepada Arif Aiman berjumlah RM11,000 pada musim 2021 selain pemberian bonus.

Untuk rekod, nilai terbaharu pemain itu meningkat kepada €400,000 atau bersamaan RM1,839,900 juta berdasarkan laman Transfermarkt.

Arif Aiman memegang takhta pemain tempatan termahal yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Angka terbaharu itu meletakkan Arif Aiman sebagai pemain keempat paling mahal dalam skuad JDT ketika ini di belakang Jordi Amat (RM4.66 juta), Fernando Forestieri (RM3.96 juta) dan Bergson Da Silva (RM2.3 juta). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram