Bukan Sabah FC, Akhyar kena ikut 'abang' ke Sri Pahang


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Sebahagian pemain Sri Pahang FC menjalani latihan pramusim bagi menghadapi saingan Liga M yang berlangsung bulan depan. — Facebook/ Sri Pahang FC

PERPINDAHAN pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) begitu rancak berlangsung, namun masa depan beberapa pemain bintang masih menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Ini termasuklah Akhyar Rashid yang dikhabarkan akan dipinjamkan majikannya, Johor Darul Takzim (JDT) ke kelab lain bagi mengharungi saingan sengit Liga M musim ini.

Ada cakap-cakap mengaitkan pemain berusia 23 tahun itu ke Sabah FC, namun namanya seolah-olah 'tercicir' di saat kelab Borneo itu 'sakan' memperkenalkan barisan pemain baharunya.

Nasib pemain berketinggian 1.69 meter itu terus menjadi tanda tanya, namun terbaharu penyokong Sri Pahang FC mengandaikan kelab itu mungkin boleh menjadi destinasi Akhyar musim ini.

316055395_2450959865067298_882964661299369289_n

Meskipun menjalani latihan berintensiti tinggi di JDT, ia dirasakan belum cukup buat Akhyar mendapatkan semula ketajaman dalam permainannya. — Facebook/ Johor Southern Tigers

Penyokong skuad Tok Gajah mahu pemain tersebut mengikut jejak empat 'abangnya' dari JDT yang kini mencari makan di kelab kendalian Datuk Dollah Salleh itu.

Baru-baru ini, Sri Pahang FC mengumumkan empat bekas pemain Harimau Selatan iaitu Izham Tarmizi, Fadhli Shas, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq sebagai tonggak baharu pasukan.

Penyertaan mereka nampaknya lebih kepada memperkuatkan benteng pertahanan dengan Izham sebagai penjaga gawang, manakala tiga yang lain di posisi bek tengah, kiri dan kanan.

Bahkan dua lagi import yang baru diumum iaitu Michael Glassock dan Sherzod Fayziev juga berfungsi sebagai 'tanker' dengan kedua-duanya bermain di posisi centre-back, sekali gus memberi gambaran Pahang bersedia dengan taktikal 'parking bus'.

Tidak mahu juara Piala Malaysia 2013 itu hanya mengharapkan pemain bintang di posisi pertahanan, penyokong meminta agar jentera serangan diperkasakan dengan pemain berprofil tinggi.

322940049_839202777338548_2451927344424616_n

Syazwan Andik (depan) dan Fadhli Shas (jersi 27) antara dua bekas pemain JDT yang menyertai Sri Pahang FC. — Facebook

Sebagai produk JDT, Akhyar tentunya memiliki keserasian dengan abang-abangnya yang kini berkhidmat dengan Sri Pahang FC.

Akhyar juga boleh bergandingan dengan tonggak sayap Harimau Malaya, Shamie Iszuan yang hampir pasti menyarung jersi Kuning Biru setelah dikhabar menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Pahang.

Dengan Shamie di sebelah kanan manakala Akhyar di sebelah kiri dan peledak Harimau Malaya, Sergio Aguero serta import baharu, Lucas da Silva mengetuai serangan, skuad Tok Gajah tentunya mampu memberi saingan sengit kepada kelab Liga M lain.

Akhyar pun tentunya boleh memperbaiki prestasi dengan mengutip lebih banyak minit permainan selepas hanya mengumpul 443 minit menerusi 13 penampilan sepanjang musim lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram