‘Fans Selangor panjat rasa syukur, nasib baik takde pinjam player JDT’


  • Podium
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Tangkap layar hantaran Instagram Story dipercayai daripada akaun @hrhcrownprincejohor yang menempelak Liridon kerana sokongannya terhadap TFC.— Instagram

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) memastikan Terengganu FC (TFC) pulang hampa apabila menewaskan skuad Sang Penyu dengan skor 2-0 dalam perebutan Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, pada Jumaat.

Meskipun tanpa kehadiran jeneral tengah, Natxo Insa, JDT kendalian Esteban Solari mengekalkan piala itu buat kali keenam berturut-turut sejak 2018 sekali gus mengumpul tiga mata pertama pada aksi pembuka tirai Liga Super 2023.

TFC pula beraksi tempang tanpa kehadiran tiga tonggak utama termasuk Liridon Krasniqi yang menyertai Sang Penyu musim ini secara pinjaman daripada pasukan Harimau Selatan.

Dua yang lain ialah tonggak tengah import, Habib Haroon dan Faiz Nasir yang juga tidak dapat beraksi kerana faktor kecederaan.

331779714_1142038013237809_3877347124155580476_n

Liridon hadir memberikan sokongan kepada TFC dalam aksi Piala Sumbangsih menentang JDT di SSI pada Jumaat. — Facebook

Meskipun tidak dapat beraksi dalam perlawanan sulung itu, Liridon memberikan kata-kata semangat buat rakan sepasukannya yang bertandang ke SSI.

"Semoga berjaya semua. Malangnya saya tidak dapat bersama kalian di atas padang malam ini. Jangan pernah putus asa. Kita boleh melakukannya," tulisnya pada laman Insta Story pada Jumaat.

Bukan sahaja Liridon malah berdasarkan senario sebelum ini, ada beberapa pemain JDT yang tidak dibenarkan beraksi apabila menentang skuad Harimau Selatan yakninya pasukan majikan mereka.

Ia dipercayai ada kaitan dengan bayaran gaji kepada pemain pinjaman menerusi sharing basis yang mana separuh dibayar oleh majikan asal manakala sebahagian lagi dibiayai kelab terbaharunya.

1955003

Bagi penyokong kelab Liga M yang tidak membariskan pemain pinjaman dari JDT, mereka berasakan ia bagai suatu rahmat kerana pasukan masing-masing boleh mempamerkan kekuatan sebenar dalam pertembungan dengan kelab Harimau Selatan itu.

Malah, ada penyokong yang berpendapat tidak timbul isu mengungkit sekiranya pemain pinjaman tersebut menyatakan sokongan kepada pasukan yang diwakili mereka.

Perkara itu timbul dan menjadi perbualan hangat peminat bola sepak tempatan selepas aksi Piala Sumbangsih berikutan satu hantaran Instagram Story dipercayai dimuat naik pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang membangkitkan soal bayaran gaji Liridon.

"Beritahu rakan-rakan anda di TFC untuk membayar gaji anda," tulis posting berkenaan di akaun @hrhcrownprinceofjohor.

Posting berkenaan dipercayai sebagai hantaran balas kepada entri Liridon yang memberikan sokongan kepada TFC.

329177378_1225170008092778_2291064308928177734_n

Semakan Majoriti di laman Instagram rasmi TMJ tidak menemukan hantaran Instagram Story itu yang dipercayai mungkin dipadam atau barangkali tidak pernah dimuat naik oleh TMJ.

Begitupun tangkap layar Instagram Story itu tular di group WhatsApp dan laman Facebook penyokong bola.

Di laman penyokong Selangor FC, ada fans yang memuat naik semula hantaran tersebut dengan kapsyen, "Nasib kita takde pinjam pemain JDT."

Selain Selangor FC, kira-kira 10 kelab Liga Super lain yang tidak menggunakan khidmat pemain secara pinjaman daripada skuad Harimau Selatan juga boleh berkongsi kelegaan sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram