'Macam perlawanan biasa sahaja', Piala Sumbangsih hilang nilai prestij


  • Podium
  • Sabtu, 25 Feb 2023

JDT meneruskan penguasaan dalam Liga Malaysia selepas menjuarai aksi Piala Sumbangsih 2023 pada Jumaat. — Facebook

AKSI sulung Liga Super 2023 menerusi perlawanan Piala Sumbangsih antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC menjadi bualan hangat para penyokong tempatan.

Antara perkara yang kecoh diperkatakan adalah mengenai jualan tiket selepas ada penyokong kedua-dua pasukan yang tidak berpuas hati dengan penjualan yang dibuat di platform JDTFC yang menggunakan server Ticket Hotline.

Ia memerlukan pengguna mendaftar akaun secara dalam talian dengan memasukkan e-mel dan kata laluan sebelum boleh membeli tiket, yang mana operator jualan tiket Liga Super iaitu Ticket Hotline juga menggunakan kaedah sama.

Penganalisis sukan terkenal, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pasti ada peraturan terpakai atau peraturan pertandingan sedia ada dari MFL yang membezakan status pertandingan Piala Sumbangsih.

333087795_1689494868134735_1117152165756728474_n

Piala Sumbangsih 2023 dianggap perlawanan biasa kerana merupakan perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan dalam saingan liga musim ini. — Facebook

Beliau berpendapat, perubahan format yang menyaksikan pertemuan juara dan naib juara Liga Super 2022 yang mana aksi berkenaan dikira sebagai perlawanan sulung liga musim ini, bukanlah sesuatu yang boleh dianggap istimewa.

"Oleh kerana ini format baharu dan telah berubah daripada format asal pertandingan, saya rasakan Piala Sumbangsih ini tidak lagi boleh dianggap sebagai satu perlawanan yang sangat-sangat istimewa seperti Piala FA atau Piala Malaysia.

"Itu sebabnya saya rasa MFL menyatakan memang hak jualan tiket atau peruntukan tiket itu di bawah bidang kuasa JDT.

"Terpulanglah kepada JDT nak khaskan atau tidak tiket untuk penyokong TFC," katanya kepada Majoriti.

jdtfc tiket

Pengguna perlu mendaftar akaun sebelum boleh membeli tiket. — Ticket JDTFC

Pekan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang memaklumkan pembahagian tiket perlawanan Piala Sumbangsih 2023 antara JDT dan TFC bukan dalam bidang kuasa pihaknya.

Ini kerana, menurut Stuart, perlawanan tersebut juga dikira sebagai perlawanan pertama liga dan kuasa adalah di bawah pasukan tuan rumah.

Ia berbeza dengan kejohanan lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia yang mana peruntukan tiket bagi dua kejuaraan utama itu adalah di bawah MFL.

Hal tersebut sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong kelab Liga Super lain yang berasakan seolah-olah pasukan JDT mendapat hak istimewa dari segi penjualan tiket yang secara tidak langsung membantu menjana pendapatan kelab.

Stuart-Ramalingam

Stuart berkata, pembahagian tiket perlawanan Piala Sumbangsih 2023 bukan dalam bidang kuasa MFL. — Facebook

Mengulas lanjut, Pekan berkata, sepatutnya tidak timbul isu berbangkit tentang soal penjanaan atau keistimewaan yang diberikan untuk pasukan tertentu.

Bahkan katanya, jika disingkap sejarah perlawanan Sumbangsih, format asal pertandingan tersebut menemukan juara Piala Malaysia dengan juara Liga Malaysia (liga utama ketika itu) untuk merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Ia juga lebih 'eksklusif' kerana perlawanan juara lawan juara itu diadakan di stadium terpilih atau berkecuali dan bukannya stadium pasukan tuan rumah.

"Dulu pertandingan ini diadakan sebagai perlawanan pembuka tirai musim baru dan diadakan lebih awal beberapa hari daripada perlawanan liga musim baharu.

"Perlawanan ini juga tidak diambil kira sebagai perlawanan pertama untuk kedua-dua pasukan dan tiada sebarang mata liga diberikan.

PUTRAJAYA 06 NOVEMBER 2019. Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Pekan Ramli pada sidang media Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi Ke-10, di Kementerian Pendidikan Putrajaya. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR.

Pekan berkata, Piala Sumbangsih tidak lagi boleh dianggap sebagai satu perlawanan yang istimewa. — NSTP

"Bagaimanapun format Piala Sumbangsih ini telah berubah dan dikira juga sebagai perlawanan pertama liga musim baharu untuk kedua-dua pasukan.

"Jika menang mendapat tiga mata tetapi keputusan permainan berdasarkan aksi 90 minit permainan sahaja.

"Namun oleh kerana ada piala rebutan maka sekiranya tempoh permainan masih seri, masa tambahan hinggalah ke sepakan penalti akan dilakukan untuk menentukan juara," jelasnya.

Pekan sekali lagi menegaskan bahawa Piala Sumbangsih bukanlah piala berprestij kerana boleh dianggap macam perlawanan biasa sahaja atau perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan dalam saingan liga musim 2023.

"Secara tidak langsung saya katakan ini bukanlah piala rebutan. Yang menang atau kalah, berjaya atau gagal...usahlah terlalu kecewa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram