DALAM kesibukan Terengganu FC (TFC) membuat persiapan akhir menjelang perlawanan Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung pada Jumaat ini, skuad Penyu sempat menandatangani kontrak lanjutan tonggak pertahanan Azam Azmi Murad.
Perkara tersebut didedahkan oleh ejen bola sepak tempatan menerusi laman Twitter miliknya, Joe berbatov mengesahkan bahawa pemain kelahiran Pulau Pinang itu bersetuju untuk kekal bersama Terengganu sehingga 2025.
Azam Azmi merupakan antara bek kanan utama TFC yang mana dia sering menjadi pilihan kesebelasan utama dalam setiap perlawanan Liga Super mahupun kejohanan lain.
Sejak menyertai skuad penyu pada musim 2020, pemain berusia 22 tahun itu tampil dalam 55 perlawanan, membuat empat hantaran bantuan dan juga menjaring dua gol buat pasukan itu.
Azam Azmi bersetuju untuk kekal bersama TFC sehingga 2025. — Twitter/Joe
Bukan itu sahaja, Azam Azmi yang dahulunya bermula dengan squad Bawah-21 tahun TFC itu berhasil mencuri tumpuan pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon untuk beraksi dalam saingan Piala AFF 2022 dan Piala Raja Thailand 2022.
Dengan kepantasan dan kehebatan dari segi menjaga benteng pertahanan Terengganu, tidak peliklah mengapa skuad Penyu menawarkan kontrak lanjutan tempoh masa panjang kepadanya.
Menjengah reaksi penyokong mengenai berita baik tersebut, ramai menyambut baik langkah bijak yang dilakukan pihak pengurusan dengan menawarkan lebih awal kontrak lanjutan kepada pemain berkualiti seperti Azam Azmi.
Malah, tidak kurang juga ada di antara mereka tidak menolak jika suatu hari nanti Azmi Azmi akan mendapat kepercayaan pengendali pasukan untuk menyarung lilitan kapten.
"Cantik. dia bakal jadi tonggak utama ini dan kapten TFC nanti," komen penyokong TFC, Yusaimi Izulman.
"Barang A ini. Tandatangan lama sikit kontrak itu. Duduk dengan Terengganu boleh masin pasukan kebangsaan juga," tambah seorang lagi penyokong, Lie Lirasi.
"Azam Azmi ini ada potensi untuk lebih maju. Permainan yang mudah dan yang penting boleh bawa peranan bek kanan dengan baik sekali. Selamat maju jaya," kata penyokong, Power.
Diharapkan dengan kontrak lanjutan bersama TFC ini, Azam Azmi akan memberi persembahan yang lebih cemerlang dalam saingan Liga Super dan Piala AFC 2023.
Khidmat Azam Azmi juga pasti diperlukan bagi membantu Terengganu merebut kejuaraan Piala Sumbangsih 2023 dari Johor Darul Takzim (JDT). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram