SEJAK sekian lama, ibu kota Kuala Lumpur sememangnya sinonim dengan masalah kesesakan lalu lintas. Tidak hairanlah akhir-akhir ini, ramai yang meluahkan rasa stres terpaksa berhadapan dengan keadaan yang semakin teruk itu.
Perkara itu juga bukan sesuatu yang baharu buat penduduk di sekitar Cyberjaya dan Putrajaya yang terpaksa keluar seawal pukul 6 pagi untuk mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang boleh makan masa dua hingga tiga jam walaupun menetap di luar bandar.
Masalah itu turut dipercayai berpunca dengan kekurangan akses pengangkutan awam utama untuk ke Kuala Lumpur.
Seorang pengguna di Twitter, @nadiazaman berkongsi gambar keadaan jalan sesak yang perlu dia hadapi setiap hari meskipun menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).
Dia turut mempersoalkan adakah selepas beroperasinya Transit Aliran Massa (MRT) nanti, adakah ada perubahan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya MEX.
Tangkap layar ciapan tersebut.
"Agaknya lepas MRT Cyberjaya/Putrajaya dah operasi nanti, jem dekat MEX kurang tak? Sebab aku antara yang akan naik MRT.
"Kawan kata, hidup kena upgrade tapi kau dah tua baru naik MRT, peduli pula aku upgrade life ke tak, yang penting hidup aku senang," ciapnya di Twitter.
MRT Putrajaya dijangka beroperasi sepenuhnya bermula bulan hadapan.
Ternyata perkongsiannya itu mendapat persetujuan dan perhatian orang ramai yang mana rata-ratanya melontarkan pelbagai pendapat berkenaan isu tersebut.
Menurut @afiqazni, punca berlakunya kesesakan lalu lintas kerana ketiadaan pengangkutan awam serta faktor-faktor lain yang berkaitan.
"Punca utamanya adalah, lemahnya prestasi dan ketiadaan pengangkutan awam seperti bas dari taman perumahan ke stesen MRT.
"Penambahan jumlah kenderaan di jalan masih akan terus meningkat selari dengan kepadatan penduduk yang bertambah kesan limpahan dari pusat bandar," ujarnya.
Manakala @Atreyue2 terkejut apabila melihat keadaan jalan yang sesak walaupun sekarang ini musim cuti sekolah.
"Ya ALLAH cuti sekolah pun masih macam ini ke? Ingat kurang sikit, harapan lepas ini ramai guna MRT," katanya.
"Stres tiap-tiap pagi hanya ALLAH yang tahu. Nak pergi KL je pun, tapi terasa lamanya macam nak ke JB," ujar seorang lagi netizen, Warga Salak Tinggi.
Berdasarkan laporan media, Fasa 2 MRT Putrajaya dijangka beroperasi sepenuhnya bermula bulan hadapan.
Selepas siap, MRT Laluan Putrajaya dijangka akan meliputi jarak laluan sepanjang 57.7km, dengan 36 stesen dari kawasan Damansara ke Putrajaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram