KETERUJAAN penyokong Terengganu FC untuk menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pada 24 Februari ini sedikit terganggu selepas tiga pemainnya tidak dapat diturunkan.
Mereka ialah pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi yang tidak dapat diturunkan kerana mematuhi kontrak pinjaman JDT dan Habib Haroon serta Faiz Nasir, masing-masing kerana faktor kecederaan.
Menurut Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, Habib terpaksa direhatkan antara dua hingga ke tiga minggu kerana kecederaan hamstring manakala Faiz belum cergas sepenuhnya memandangkan baru kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas berehat panjang.
Bagi Habib, dia menjelaskan bahawa tidak sempat pulih daripada kecederaan hamstring untuk membantu rakan sepasukan memberi cabaran kepada skuad Harimau Selatan bimbingan Estaban Solari.
Liridon tidak dapat diturunkan dalam aksi Piala Sumbangsih 2023 kerana terikat kontrak pinjaman. — Facebook
Dia tercedera sebelum perlawanan persahabatan menentang kelab Denmark, Odense Boldklub baru-baru ini.
"There is no way. Disebabkan kecederaan saya alami, saya tak mampu untuk bermain menentang JDT nanti," katanya menerusi rakaman temu bual HarimauMalaya di YouTube.
Habib juga menyatakan faktor utama dia menjadi satu-satunya import yang kekal bersama Terengganu FC adalah kerana lebih seronok berada dalam skuad Sang Penyu yang sudah dianggap sebagai keluarga.
Menurutnya semua pemain mempunyai pilihan untuk berpindah ke kelab lain, namun dia yakin dan gembira di Terengganu FC.
“Terengganu adalah seperti keluarga saya, semua orang di sini layan saya seperti keluarga. Saya rasa lebih yakin dan gembira untuk bersama TFC, sebab itulah saya teruskan lagi dengan kelab ini pada musim ini,” katanya.
Habib (depan, kiri) seronok berada dalam skuad Sang Penyu yang sudah dianggap sebagai keluarga. — Facebook
Menurut Habib lagi, persiapan menjelang musim baharu berada dalam keadaan yang baik dan Tomislav memiliki kualiti tersendiri untuk mengemudi pasukan.
"Pasukan ini ada pemain yang berkualiti. Kami sedang membiasakan diri dan mencari keserasian dengan pemain baharu, namun semuanya berjalan lancar.
"Pemain muda di sini juga berbakat dan mampu membantu pasukan. Ia terserah kepada disiplin dan mentaliti masing-masing," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram