Isu penjualan tiket timbul 3 hari menjelang aksi Piala Sumbangsih


  • Podium
  • Selasa, 21 Feb 2023

Siapakah yang bakal muncul juara dalam pertembungan hangat itu Jumaat ini? — Facebook/JOHOR Southern Tigers

AKSI Piala Sumbangsih yang bakal diadakan Jumaat ini menyaksikan pertembungan antara juara Liga Super Johor Darul Takzim (JDT) dan naib juara, Terengganu FC.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu bukan sahaja peluang buat kedua-dua pasukan untuk membawa pulang trofi pertama musim ini, namun pemenang dalam pertembungan tersebut juga bakal membawa tiga mata berharga.

Bagi skuad Harimau Selatan, kejayaan ke atas Terengganu FC bermakna mereka akan muncul juara dalam pertandingan berkenaan untuk kali keenam berturut-turut.

Selain itu, mereka juga pastinya bercita-cita besar untuk mencatatkan keputusan positif bagi meneruskan satu musim yang amat bermakna buat pasukan pada 2022.

Sementara itu, bagi skuad Sang Penyu pula, rombakan menyeluruh yang dilakukan sepanjang jendela perpindahan menyaksikan beberapa tonggak pasukan tidak lagi berkhidmat buat pasukan Pantai Timur itu.

Namun, bagi penyokong kedua-dua pasukan, aksi pertama itu pastinya menarik ribuan penonton yang sanggup hadir bagi memberi sorakan hangat kepada pemain di atas padang.

Meskipun keputusan dalam beberapa aksi persahabatan kurang memberangsangkan, sokongan yang diluahkan mereka tidak putus-putus berdasarkan tinjauan di media sosial.

WhatsApp Image 2023-02-21 at 16.36.06 (1)

JDT pastinya berhasrat untuk menjulang trofi Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut.

Tetapi, baru-baru ini, satu lagi isu mula timbul apabila penyokong mula mempersoalkan tarikh yang penjualan tiket untuk aksi Piala Sumbangsih itu.

Manakan tidak, dengan perlawanan itu bakal berlangsung tiga hari lagi, sudah pasti orang ramai mula tidak sabar-sabar menunggu pengumuman daripada pihak atasan.

"Piala Sumbangsih hanya tiga hari sahaja lagi, tetapi info tiket masih kesepian dan tiada khabar berita aiyooo," kata Ammar Syahmi.

"Hairan juga dengan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ni. Piala Sumbangsih antara JDT dan Terengganu FC bakal diadakan Jumaat ni, tetapi tiada lagi pengumuman mengenai penjualan tiket.

"Saya mungkin tidak akan pergi ke Stadium Sultan Ibrahim, tetapi penyokong Terengganu yang lain ramai juga nak pergi," kata Redzuan Mohd.

"Bilakah tiket perlawanan Piala Sumbangsih akan dijual ya? Tidak sabar pula rasanya untuk beli," kata Latif Putera JDT.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan penjualan bakal dibuka selewat-lewatnya pada Rabu dengan penyokong Sang Penyu hanya akan diberikan amaun yang lebih sedikit.

Tetapi, bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Majoriti sedang berusaha menghubungi pihak MFL bagi mendapatkan penjelasan dan perkhabaran mengenai isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram