SEPERTI yang diketahui, juara Liga Super Malaysia 2022, Johor Darul Takzim (JDT) bakal memulakan kempen Liga Malaysia (Liga M) bertemu dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC bagi aksi Piala Sumbangsih 2023.
Bagaimanapun, pasukan TFC dilaporkan sedang mengalami kegusaran menjelang perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari depan itu.
Difahamkan tonggak tengah import TFC, Habib Haroon bakal terlepas aksi Piala Sumbangsih 2023 apabila disahkan mengalami kecederaan hamstring oleh pengendali pasukan Tomislav Steinbruckner.
Memetik laporan dari TRDI, pengendali kelahiran Croatia itu memberitahu, pemain dari Bahrain itu mengalami kecederaan sewaktu sesi pramusim di Bangkok dan Haroon akan berehat mininum selama dua minggu.
Haroon akan terlepas aksi Piala Sumbangsih 2023 susulan kecederaan yang dialaminya. — Facebook/TFC
Selain Haroon, TFC juga tidak akan menurunkan tonggak tengah naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi dalam aksi Piala Sumbangsih susulan ia adalah persetujuan yang dicapai dalam kontrak pinjaman pemain itu antara pasukan JDT dan TFC.
Kehilangan dua arkitek tengah itu terutamanya maestro TFC, Haroon sememangnya sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasukan Pantai Timur itu namun hakikatnya skuad Penyu masih mempunyai dua lagi pemain sandaran.
Pemain yang disebut-sebut boleh menjadi pengganti kedua-dua arkitek tengah itu ialah Faiz Nasir dan Muhammad Zuasyraf Zulkiefle yang semakin menambat hati peminat setia skuad Penyu.
Muhammad Zuasyraf merupakan bekas pemain skuad TFC II. — Facebook/TFC
"Tahun depan cuba lagi. Skrip sama berulang, baru nak mula dah ada macam ini," komen penyokong TFC, Kaotal Bin Rani Rani yang mendakwa bahawa ada sahaja pemain utama TFC akan mengalami sebarang isu jika bertemu JDT.
"Masa inilah Zuasyraf nak tutup mulut pengkritik. Buktikan anda layak galas tugas pemain tengah tapi kalau nak main pass ke bek dan penjaga gol sedialah kena maki sampai habis musim," komen satu lagi penyokong TFC, Zarraz Empayar Cameron.
"Faiz Nasir ada," kata penyokong, Muhamad Shukri yang berharap agar pemain berusia 30 tahun itu akan menjadi sandaran utama TFC bagi aksi Piala Sumbangsih 2023.
Berdasarkan kenyataan dari Steinbruckner, Faiz sudah mula turun berlatih dengan melakukan program latihan individu pada Khamis selepas hampir empat minggu tidak bersama TFC kerana masalah keluarga.
Finalis Piala Malaysia 2022 itu akan berentap untuk aksi Piala Sumbangsih yang akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super buat kedua-dua pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram