Gilap di sebalik bintang malap, veteran Liga M diramal tonggak baharu Sang Penyu


  • Podium
  • Khamis, 16 Feb 2023

Terengganu FC merupakan antara pasukan yang giat melakukan pembelian bagi memastikan skuad mereka tidak ketinggalan bersaing pada musim ini. — Facebook/TerengganuFC

KELAYAKAN Terengganu FC ke pentas Asia untuk musim ini memaksa pihak pengurusan melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad ketika ini untuk bersaing dengan pasukan lain yang dikatakan mempunyai pemain-pemain hebat.

Hal ini kerana, jika dilihat daripada barisan pemainnya musim lalu, kebanyakkannya tidak lagi dikekalkan bersama pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur.

Pada masa sama, keputusan ketua jurulatih, Nafuzi Zain meninggalkan skuad Sang Penyu untuk berkelana ke Utara tanah air sedikit sebanyak turut memberi impak pada skuad Sang Penyu.

Sehubungan itu, Terengganu FC merupakan antara pasukan yang giat melakukan pembelian bagi memastikan skuad mereka tidak ketinggalan.

Namun jika melihat kepada beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan, penyokong berasakan pemain-pemain baharu terutamanya pemain import Adisak Kraisorn dan pemain kelahiran Croatia, Ivan Mamut tidak menunjukkan prestasi sebenar dan kurang memberansangkan.

329768406_500532055575545_2220099899920112092_n

Sony Norde ketika menjalankan latihan bersama Terengganu FC. — Facebook/ TerengganuFC

Bagi penyokong Sang Penyu, mereka berasakan jentera serangan masih memerlukan rombakan besar-besaran apabila pasukan gagal memberi ancaman bertubi-tubi terhadap pintu gol lawan.

Sebagai contoh, pertembungan menentang kelab Thailand, Chonburi FC berkesudahan 1-0 memihak kepada Terengganu FC berikutan jaringan Jordan Mintah.

Ia menunjukkan bahawa keserasian dan kualiti naib juara Liga Super 2022 itu masih belum di tahap terbaik, sekali gus memaksa pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, bagi seorang penyokong menerusi akaun Facebook Remon berkata, masih terdapat sinar di sebalik prestasi tidak memberangsangkan daripada pemain-pemain baharu kelab.

"Tahun ini, perbelanjaan Terengganu FC seolah-olah satu pembaziran, beli penyerang Thailand tetapi malas untuk merencanakan gerakan.

"Dapatkan penyerang Croatia, Ivan Mamut pula, dia tidak mempunyai sentuhan penyudah yang boleh diharapkan. Cuma Sony Norde yang bagus," katanya.

Kehadiran Sony Norde pada awal Disember lalu menyuntik keterujaan buat peminat setia pasukan apabila dia merupakan salah seorang tonggak Melaka United musim lepas.

Meskipun berada dalam kemelut kewangan, pemain kelahiran Haiti itu masih memberikan persembahan terbaik dengan menjaringkan dua gol dan mencipta lima bantuan jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram