Lupa jasa anak-anak Sidek, netizen minta menteri sekat bekas pemain 'racist' masuk Malaysia


  • Podium
  • Isnin, 13 Feb 2023

Misbun Sidek (kiri) merupakan sifu kepada jaguh badminton perseorangan negara, Chong Wei.

KENYATAAN bersifat perkauman yang dikeluarkan oleh bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik bukan hanya menimbulkan kekecohan dalam kalangan pihak pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), malah menjadi kemarahan warganet di Malaysia.

Menerusi klip video tular, Guang Yik yang kini difahamkan menentap di China itu mendakwa bahawa sikap BAM yang sambil lewa dalam mengurusan hal ehwal pemain badminton negara merupakan faktor kepada kemerosotan prestasi sukan tersebut.

Kemuncak kenyataan atlet lelaki itu apabila dia mendakwa ibadah solat lima waktu orang-orang Melayu antara punca badan induk tersebut gagal menguruskan BAM dengan sempurna.

isi

Tangkap layar video Guang Yik membuat kenyataan berbaur perkauman.

Susulan daripada kenyataan atlet yang hanya pernah berada di kedudukan 313 dunia itu, sesetengah warganet berpendapat bahawa tindakan untuk menyekatnya daripada menyertai mana-mana kejohanan adalah perkara sia-sia berikutan dia sudah tidak terikat dengan BAM.

Sebaliknya, sebahagian daripada warganet mencadangkan agar pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama untuk menyekat Guang Yik daripada memasuki tanah air.

"Apa yang menteri cakap betul. Nak sekat pun, dia memang tidak ada hubungan dengan BAM atau bawa nama Malaysia. Mungkin sekarang dia hanya jurulatih kelab cap ayam sahaja di China. Semasa jadi pemain pun main setahun sahaja. Main beregu ranking dunia dua ratus lebih. Main perseorangan pula 313 dunia.

"Mungkin dia pun dah tukar kewarganegaraan luar apa. Cuma kerajaan dengan menteri kalau nak serius pergi kerjasama dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menteri KDN. Minta mereka senarai hitamkan nama dia dari masuk pintu rosak negara. Masuk-masuk sahaja terus pegang ke balai," komen dari pengguna akaun Facebook, Izwan Bin Idris.

Selain itu, seorang pengguna Facebook, Ahmad Naim pula menyifatkan Guang Yik tidak ubah seperti kacang lupakan kulit kerana keluarga Sidek berketurunan Melayu yang mempelopori badminton tanah air pada awal kemunculan sukan itu.

anak-anak sidek

Kisah adik-beradik Sidek juga dijadikan sebuah siri televisyen animasi Malaysia.

Datuk Misbun Sidek, Datuk Razif Sidek, Datuk Seri Jalani Sidek, Rahman Sidek dan Datuk Rashid Sidek merupakan legenda badminton negara yang juga pernah melatih para pemain lain.

"Siapa yang bawa naik badminton Malaysia dulu? Keluarga Sidek. Keluarga Sidek itu siapa? Melayu. Siapa yang latih itu Datuk Lee Chong Wei? Itu Misbun Sidek. Misbun itu siapa? Bangsa apa? Kalau mahu cakap soal prestasi sesuatu perkara jangan kaitkan soal bangsa.

"Kau pergi bertanding luar negara orang tak tanya kau apa bangsa. Orang tanya kau apa negara. Ini orang mahu cakap yang dia paling superior dan orang lain punca segala masalah. Tapi dia tak sedar diri. Bila peluang diberi dia jadi satu macam.

"Saya tidak bersifat perkauman pada mana-mana, saya ada ramai kawan Chinese. Tapi kenyataan ini memang patut dikenakan tindakan. Kau boleh tengok sukan hoki dan berbasikal, tiada apa isu perkauman dibangkitkan boleh saja maju, tapi itulah Tweet sikit pun dah beria gantung. Kali ni kita tengok yang ini pula macam mana," tulisnya.

Sebelum ini, Menteri KBS, Hannah Yeoh turut memberi reaksi mengenai video tersebut, beliau mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun Guang Yik sudah meminta maaf.

Sementara itu, pihak BAM pula mengambil tindakan selanjutnya dengan mengutuskan surat aduan rasmi kepada Persatuan Badminton China (CBA) untuk mengesa badan induk itu tidak meneruskan khidmat Guang Yik sebagai jurulatih di salah sebuah kelab di negara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram