'Short, sharp, simple and class', misi JDT, mandat TMJ 2023


  • Podium
  • Khamis, 09 Feb 2023

Harimau Selatan akan memulakan kempen musim 2023 dengan perlawanan Piala Sumbangsih menentang TFC di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari. — Facebook/JDT

MENJELANG saingan musim 2023, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi visi dan misi skuad Harimau Selatan.

Menerusi perkongsian di laman media sosial rasmi pasukan, Tunku Ismail mengingatkan kepada penyokong bahawa skuad Harimau Selatan akan mempunyai pelbagai projek baharu.

Malah, TMJ juga mahu penyokong untuk mengimbas semula perjalanan Harimau Selatan sama ada dari segi kejayaan dan pembangunan yang telah dicipta Harimau Selatan.

"Ingat. Tahun baru, agenda baru, dan projek-projek baru. Saya nak penyokong JDT imbas semula permulaan dan perjalanan kelab kami. Sudah pelbagai kejayaan, pembangunan dan sejarah yang tercipta.

"Semua yang kami lakukan sejak 2013 daripada video di media sosial, strategi komersil, pembangunan bola sepak, insfrastruktur dan lain-lain baru diikuti mulai tiga atau empat tahun lepas hingga ke hari ini. Malah cara kami meraikan kejayaan kelab kami setiap tahun adalah luar biasa," tulisnya pada laman Facebook rasmi JDT.

TMJ

Tunku Ismail akan membawa agenda baharu dalam Harimau Selatan. — Facebook/JDT

TMJ turut menegaskan bahawa di era bola sepak baharu ini, JDT merupakan peneraju bola sepak tanah air sama ada dalam mahupun luar padang.

"Hanya orang yang tidak berakal sahaja yang menafikan dan tidak boleh menerima fakta iaitu kami adalah peneraju bola sepak tanah air. Pada era yang baharu ini, pendekatan kami lain. Di dalam dan di luar padang. ‘No more story line’.

"Semua benda yang kami akan lakukan dengan pendekatan lebih ‘short, sharp, simple, and class’ tahun ini adalah tahun di mana kami akan ‘Elevate the game’. Coming soon... Enjoy!” dipetik dari kenyataan dikeluarkan oleh pihak kelab.

JDT sebelum ini mengharungi empat perlawanan di Dubai dengan tewas 0-2 kepada FC Rostov pada aksi pertama sebelum menang 3-0 dan 1-0 ke atas Fursan Hispania dan Lokomotiv Moscow.

Sementara itu, satu lagi aksi persahabatan JDT ketika berdepan Levski Sofia ditamatkan lebih awal susulan pergaduhan pemain.

Skuad Harimau Selatan akan memulakan kempen musim 2023 dengan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram