Bersedia hadapi bencana nuklear, WHO senarai bekalan ubatan wajib


  • Benua
  • Ahad, 29 Jan 2023

Tentera Russia dijangka menggunakan peluru berpandu yang boleh membawa peledak nuklear. — Agensi

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan panduan tentang cara untuk bertahan dalam bencana nuklear, hanya beberapa jam selepas Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa Rusia ‘kini berperang dengan Barat’, lapor Fortune baru-baru ini.

Turut termasuk dalam garis panduan itu ialah senarai ubat-ubatan yang perlu disimpan oleh negara-negara di dunia untuk menghadapi situasi kecemasan radioloaktif atau nuklear.

Badan kesihatan global itu berkongsi maklumat cara stok ubat yang disimpan boleh digunakan untuk mencegah atau mengurangkan pendedahan kepada radiasi sekiranya bencana nuklear berlaku.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah WHO, Dr. Maria Neira memberi amaran bahawa kerajaan-kerajaan di dunia perlu segera menyediakan rawatan untuk radiasi dan pendedahan kepada agen nuklear.

“Adalah penting bahawa kerajaan-kerajaan di dunia bersiap sedia melindungi kesihatan penduduk dan bertindak balas segera sekiranya berlaku kecemasan. Ini termasuk menyediakan bekalan ubat-ubatan yang boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko serta dapat merawat kecederaan akibat radiasi,” katanya.

Potensi senario yang terkandung dalam garis panduan WHO termasuk kecemasan radiasi atau nuklear di loji jana kuasa nuklear dan penggunaan bahan radioaktif yang disengajakan serta berniat jahat.

Senario tersebut boleh mengakibatkan pendedahan kepada dos sinaran maut, namun banyak negara kurang bersedia untuk berdepan situasi berbahaya itu, demikian menurut dokumen WHO.

Panduan itu menekankan: “Adalah sangat penting bagi kerajaan-kerajaan dapat bertindak balas dengan cepat terhadap ancaman sedemikian.”

Garis panduan baharu itu bagi menggantikan laporan WHO pada tahun 2007 mengenai pembangunan simpanan nasional untuk kecemasan radiasi.

Pertubuhan antarabangsa itu turut mengeluarkan maklumat terkini tentang rujukan stok ubat berdasarkan perkembangan dalam perubatan kecemasan melibatkan sinaran radioaktif pada dekad lalu.

Ia menyediakan nasihat asas tentang cara pemerolehan ubat-ubatan yang boleh menghalang atau mengurangkan penyerapan bahan berbahaya radionuklid atau meningkatkan penyingkiran radionuklid dalam tubuh manusia.

Panduan itu dikeluarkan ketika Setiausaha Agung Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah, Stefano Sannino mengumumkan bahawa Rusia mengalihkan tumpuan pencerobohan tenteranya di Ukraine.

Bercakap pada sidang akhbar di Tokyo sebagai sebahagian daripada lawatan jelajah Asia-Pasifik, beliau berkata, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah berganjak daripada konsep operasi khas kepada konsep sekarang iaitu perang melawan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Barat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram