Kekalahan berharga tapi 2 nama dipetik tak 'perform' dalam aksi JDT-FC Rostov


  • Podium
  • Khamis, 26 Jan 2023

Kesebelasan utama yang diturunkan Solari dalam perlawanan menentang FC Rostov. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) mengalami kekalahan pertama dalam aksi pramusim apabila tewas 0-2 di tangan kelab dari Liga Rusia, FC Rostov di Ritz Carlton, Dubai pada Rabu.

Walaupun tewas tanpa menjaringkan sebarang gol, pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari tetap gembira dengan prestasi yang diberikan oleh anak-anak buahnya.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook rasmi, pengendali kelahiran Argentina itu berkata, ia adalah satu pengajaran yang baik bagi menguji kualiti dan memperbaiki kelemahan barisan pemain.

“Hari ini adalah satu pengajaran yang baik apabila menentang pasukan yang berkualiti. Sekarang kami kembali ke sesi-sesi latihan dan memperbetulkan kelemahan-kelemahan daripada perlawanan ini.

“Niat utama di sini adalah untuk belajar dan mencabar diri kami untuk berhadapan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat supaya kami dapat memperbaiki pasukan dari apa yang kami ada sebelum ini.

“Perlawanan-perlawanan seterusnya juga lebih sukar dan kami perlu bekerja keras setiap hari sebelum bermulanya kempen 2023,” katanya.

Bagaimanapun, dari sudut pemerhatian penyokong skuad Harimau Selatan, terdapat dua pemain yang dilihat tidak memberikan persembahan terbaik mereka.

arif aiman

Arif Aiman antara pemain yang dipetik tidak menyerlah pada perlawanan pramusim itu. — Facebook/JDT

Walaupun mereka mengganggap ia sebagai kekalahan berharga di tangan pasukan yang kini di tangga ketiga Liga Russia itu namun ia bukan penghalang bagi penyokong melemparkan kritikan kepada barisan pemain.

Dua nama pemain Harimau Selatan yang dilihat kurang memberikan kualiti terbaik pada perlawanan menentang FC Rostov ialah penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias dan bintang muda, Arif Aiman Hanapi.

Menurunkan Farizal sebagai penjaga gol utama disifatkan sebagai kesilapan kerana bagi penyokong, Solari sepatutnya menggantikannya dengan pemain baharu, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed atau Muhammad Haziq Nadzli.

farizal

Farizal disifatkan sudah tidak relevan untuk menjadi penjaga gol utama JDT. — Facebook/JDT

"Farizal dah boleh rehatkan. Bagilah peluang pada Hazi atau Syihan. Mohon pertimbangkan. Apa-apapun tahniah JDT," komen penyokong, Opie Syira.

"Tak fahamlah. Syihan dah ada tapi tetap pakai si Wak Farizal itu juga, dia itu dah layak jadi jurulatih sahaja. Perlawanan tadi dah nampak okay cuma kasihan pemain JDT asyik kena tackle sahaja," tulis penyokong, Dato Xavier.

"Corbin padu, Davies mantap. Arif tidak menjadi malam ini. Penjaga gol masih lagi tidak berubah, kena pressing depan gol pun masih nak passing dekat D box," kata seorang lagi penyokong, Amin Ramli.

Penyokong mengharapkan agar perlawanan persahabatan selepas ini akan berlaku pertukaran pemain bagi mencari tonggak terbaik JDT.

Selain FC Rostov, JDT juga dijadual bertemu kelab Bulgaria, FC Levski Sofia dan dua lagi kelab Russia, FC Lokomotiv Moscow serta juara liga, Zenit St Petersburg. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram