'Fuh macam Bruno Fernandes!', aksi arkitek Sang Kenari bak jelmaan bintang Man United


  • Podium
  • Rabu, 08 Feb 2023

Pemain KDA FC giat menjalani latihan untuk pertemuan sulung dengan FC Nasaf dalam siri jelajah pramusim Sang Kenari di Turkiye. — Facebook

PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini berada di Turkiye bagi menghadapi perlawanan persahabatan aksi pramusim membabitkan pasukan dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Ukraine.

Meskipun cabaran belum bermula, anak-anak buah Nafuzi Zain sudah diuji dengan keadaan cuaca sejuk dan berangin dengan suhu mencecah antara 3 hingga 9 darjah Celsius pada sebelah siang.

Para pemain yang menjalani latihan di Pusat Sukan Ecozidayn di Antalya dilihat mengenakan baju dan seluar panjang selain memakai windbreaker untuk menghangatkan badan.

Rata-rata nampaknya begitu cepat menyesuaikan diri berlatih dan bermain bola dalam keadaan cuaca sejuk meskipun pengalaman itu agak baharu buat kebanyakan pemain.

323383702_600369675257332_6612172919240952976_n

Anak-anak buah Nafuzi Zain diuji dengan keadaan cuaca sejuk dan berangin. — Facebook

Para penyokong skuad Hijau Kuning yang mengikuti perkembangan pasukan kesayangan mereka di Facebook dan Instagram rasmi KDA FC juga turut memuji komitmen yang ditunjukkan para pemain.

Malah ramai yang menyifatkan sesi latihan di bumi Turkiye itu ibarat menyaksikan latihan kelab-kelab terkenal Eropah yang bersaing di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Paling mencuri tumpuan adalah pemain import yang mengetuai jentera tengah Sang Kenari, Manuel Ott.

Kehadirannya untuk mengikuti aksi pramusim hanya selepas beberapa hari bercuti kahwin membuatkan ramai penyokong KDA FC berpendapat dia merupakan seorang pemain yang cukup berdedikasi dan memiliki komitmen tinggi.

Pemain kacukan Jerman-Filipina itu juga dilaporkan sanggup menangguhkan dahulu perancangan untuk berbulan madu bersama isteri, Marian Gianina Jamias yang dikahwini di Manila pada Khamis lalu.

WhatsApp Image 2023-02-08 at 11.16.16

Bahkan aksi Manuel Ott sepanjang berlatih di Turkiye disamakan seperti bintang Manchester United, Bruno Fernandes yang turut memakai jersi nombor 8.

"Fuhh! Like Bruno Fernandes number 8 to lead Manchester United training oooo," tulis penyokong KDA FC, M Hazriq Fahimy di InstaStory sebelum entri itu dimuat naik semula Manuel Ott.

Bekas pemain Terengganu FC itu memakai nombor 8 semasa berkhidmat dengan skuad Sang Penyu dan mengekalkan pemakaian nombor 8 di KDA FC bagi musim 2023.

Semasa ketiadaannya ketika kejohanan Piala Harapan 2023, pasukan KDA FC yang tewas 5-6 kepada Selangor FC menerusi sepakan penalti, ternyata agak tempang di bahagian tengah.

326956159_1234042667523627_7530118626835534606_n

Manuel Ott (tengah) antara pemain yang memberikan komitmen tinggi atas padang. — Facebook

KDA FC akan bertemu dengan juara dua tahun berturut-turut Piala Uzbekistan, skuad FC Nasaf pada petang Khamis.

Pertembungan sulung dalam siri jelajah pramusim di Antalya itu akan menyaksikan Sang Kenari bakal diuji dari segi kemampuan dan keserasian pemain.

Perlawanan dengan kelab itu juga bagi menilai serta memperbaiki kekuatan pasukan menjelang aksi Liga Super yang bermula 24 Februari nanti.

Selain FC Nasaf, KDA FC juga bertemu kelab dari Kazakhstan iaitu FC Shakhter Karagandy di Limak Sports Center (10 Februari).

Sementara dua lagi aksi, membabitkan kelab FK Maktaaral dari Kazakhstan dan kelab dari Ukraine (FC Metalist Kharkiv) masing-masing pada 12 dan 14 Februari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram