Khabarnya kembali ke JDT, Liridon pengganti Natxo Insa?


  • Podium
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Liridon dikhabarkan akan menyarung semula jersi Harimau Selatan musim ini. — Twitter

KETIKA pemain sensasi negara, Safawi Rasid mula menapak di Liga Thailand bersama Ratchaburi FC bagi musim ini, ada perkhabaran lain dari bumi Gajah Putih berhubung salah seorang naturalisasi negara yang berkelana di negara itu.

Difahamkan, Liridon Krasniqi atau dikenali dengan jolokan Mat Don bakal meninggalkan kelab Khon Kaen United selepas menjalani perpindahan secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) pada pertengahan musim lepas.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak tersenarai dalam 29 pemain skuad Khon Kaen United bagi mengharungi pusingan kedua Thai League musim 2022/23.

Khon-kaen-united-1536x1536

Nama Liridon tidak tersenarai dalam 29 pemain skuad Khon Kaen United bagi musim 2022/23. — Facebook

Berdasarkan Transfermarkt, tempoh pinjamannya masih berbaki lima bulan dan hanya akan berakhir pada bulan Mei depan.

Tanpa nama dalam senarai berkenaan, status Liridon menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Berkemungkinan pemain kelahiran Kosovo itu bakal kembali ke Liga Malaysia untuk beraksi bersama kelab JDT.

Bahkan perkara itu dikuatkan lagi selepas laman Transfermarkt JDT memasukkan Liridon sebagai pemain dalam senarai skuad musim 2023.

Bermain di posisi tengah menyerang (attacking midfield), Liridon tersenarai bersama nama-nama bintang lain di posisi sama termasuk Juan Muniz, Leandro Velazquez, Endrick dos Santos dan Levy Madinda.

liridon

Nama Liridon sudah dimasukkan dalam senarai skuad JDT. — Transfermarkt

Timbul persoalan adakah Liridon bakal menggantikan Natxo Insa, playmaker JDT yang dikaitkan dengan persaraan selepas pemain berusia 36 tahun itu tidak kelihatan di sesi latihan pramusim.

Liridon juga seperti Natxo, boleh bermain di posisi tengah untuk memikul tugas memberi keseimbangan kepada skuad Harimau Selatan dalam situasi menyerang mahupun bertahan.

Begitupun persoalan itu sukar dijawab buat masa ini kerana mungkin ketua jurulatih, Esteban Solari ada nama lain bagi posisi khas tersebut.

Ini termasulah pemain kacukan, Hong Wan selain Syamer Kutty Abba yang sedang menjalani pemulihan kecederaan lutut.

Untuk rekod, selain Safawi, pemain negara yang beraksi di Liga Thailand musim ini ialah Dion Cools dengan kelab Buriram United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram