Bukan saja Willian Lira, Kedah FC sudah jumpa 'harta karun' CB berbaloi


  • Podium
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Skuad Sang Kenari dijangka terbang tinggi selepas melakukan rombakan besar-besaran. — Facebook/KDA FC

SELEPAS lebih sebulan mengadakan aksi pramusim, Kedah Darul Aman (KDA) FC buat pertama kali pulang dengan kekecewaan apabila tewas dalam penentuan sepakan penalti ke atas Selangor FC.

Perlawanan persahabatan yang diadakan sempena saingan Piala Harapan 2023 itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas 90 minit permainan.

Bagaimanapun, di sebalik kehampaan itu, penyokong Hijau Kuning masih tidak henti-henti melontarkan pujian terhadap gaya dan kesungguhan yang ditonjolkan.

Selepas berdepan satu musim yang sukar, pihak pengurusan memilih untuk melakukan pelaburan besar-besaran bagi memacu skuad Sang Kenari ke tahap berbeza.

Hasrat itu dimulakan dengan kepulangan bekas pemain, Nafuzi Zain yang kini memegang jawatan sebagai ketua jurulatih selepas satu karier menakjubkan bersama Terengganu FC.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut berbelanja besar sepanjang jendela perpindahan dengan menandatangani beberapa pemain baharu, termasuk tonggak pasukan kebangsaan, Lee Tuck.

Namun, di sebalik nama-nama besar yang kini mewakili KDA FC, penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira berjaya meraih kredit selepas sentuhannya di hadapan pintu gol cukup berkualiti.

323450910_847696746315990_186269860729488698_n

Willian Lira membuktikan kemampuannya sepanjang aksi pra-musim. Facebook/KDA FC

Selepas empat perlawanan persahabatan, pemain berusia 30 tahun itu mengumpul empat jaringan peribadi, termasuk dua gol ketika berdepan Kelantan FC.

Jadi, tidak hairanlah apabila segelintir pihak mula teruja dengan sentuhan dan kebolehan Willian dalam memacu jentera serangan pasukan.

"Penampilan Willian Lira yang manis umpama nira dalam perlawanan persahabatan sebelum musim Liga Super bermula," kata Mie KeCheq.

"Willian Lira ni nmpak karakter dia sebagai penjaring, apabila tidak dapat memegang bola dengan lama, dia akan buat cubaan terus. Harap dapat serasi dengan rakan sepasukan yang lain," kata Steriltiza Homestay.

Tetapi, bagi sebahagian penyokong pula, pujian juga harus diberikan kepada pertahanan berusia 28 tahun, Bojan Ciger yang bermain dengan cukup baik.

Ketika berdepan Selangor FC, bek kental itu memberi persembahan terbaik dengan tenang melakukan hantaran di samping menyekat percubaan demi percubaan pihak lawan.

Pemain yang dibawa masuk dari kelab Uzbekistan, PFC Navbahor Namangan itu sebelum ini difahamkan akan diserap ke dalam skuad simpanan disebabkan lambakan pertahanan ketika ini.

Bagaimanapun, kemampuan Bojan untuk membuktikan kebolehannya di atas padang pasti akan membuka mata Nafuzi bagi memberinya lebih banyak peluang.

328622541_903134530989882_1255948132564091299_n

Bojan Ciger mula disebut-sebut sebagai antara pertahanan terbaik Liga Malaysia. Facebook/KDA FC

Hal itu turut disokong hampir keseluruhan penyokong Hijau Kuning sehingga ada daripada mereka yang mula melabelnya sebagai rekrut terbaik bagi jendela perpindahan kali ini.

"Seorang pertahanan tengah yang mengatur aliran bola bermula dari pertahanan bawah dengan hantaran dan pembacaan gerakan pihak lawan.

"Sering terlibat dalam situasi bola mati dan mampu menjaringkan dalam situasi tersebut, cuma dia kelihatan agak kurang vokal dalam padang dalam mengatur set pertahanan sisi beliau dalam fasa bertahan," kata Analisis Tangga Ayam.

"Banyak potensi pemain ni. Bab pertahanan dia sudah kawal dengan baik, cuma perlu dapatkan pasangan yang sesuai untuk pastikan benteng KDA FC kekal kebal," kata Pena Sukan.

Pasukan Utara tanah air itu selepas ini bakal berkunjung ke Turkiye untuk mengadakan sesi latihan berpusat dari 6 hingga 14 Februari, termasuk beberapa aksi persahabatan bertemu kelab Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram