[VIDEO] Bukan setakat balik kampung Penang, Faisal Halim bahagiakan famili dengan lencana Selangor di dada


  • Podium
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Faisal masih gagal mencetak sebarang jaringan sepanjang aksi pramusim bersama Selangor FC. — Facebook/Selangor FC

AKSI Piala Harapan 2023 yang diadakan dari 2 hingga 4 Februari mengumpulkan tiga pasukan tempatan dan sebuah kelab berpusat di Singapura, Geylang International FC.

Tiga kelab Liga Super iaitu Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan tuan rumah, Penang FC berentap untuk membawa pulang trofi piala pra-musim itu.

Harapan penyokong untuk menyaksikan aksi terbaik seakan-akan didengari ketiga-tiga pasukan apabila kesemua pemain memberikan semangat dan persembahan bertenaga ketika aksi di peringkat separuh akhir.

Pertembungan antara Selangor FC dan KDA FC sudah tentu menjadi tatapan ramai dengan kedua-dua mereka giat melakukan rombakan terhadap skuad.

Antara pihak yang mencuri perhatian dalam perlawanan itu pastinya penyerang baharu skuad Gergasi Merah, Faisal Halim yang berhijrah ketika jendela perpindahan lalu.

Manakan tidak, enam gol dan sembilan bantuan jaringan yang dihasilkan dalam 20 penampilan Liga Super ketika bersama Terengganu FC pada 2022 sudah cukup untuk menaikkan namanya sebagai antara pemain tempatan terbaik.

Lebih menarik lagi, aksi Piala Harapan yang diadakan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang menyaksikan Faisal beraksi di tanah kelahirannya.

Namun, meskipun gagal menjaringkan sebarang gol ketika berdepan skuad Sang Kenari, nama pemain berusia 25 tahun itu masih disebut-sebut dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Hal itu berikutan satu video menyentuh hati yang dimuat naik seorang pengguna TikTok, @khairul_keol memaparkan Faisal menghadiahkan bapanya sebuah kereta baharu.

Berdasarkan rakaman berdurasi 2 minit 35 saat itu, pemain bertubuh kecil tersebut bersama isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril memimpin bapa Faisal ke arah Proton X50 berwajah baharu.

Suasana di kawasan tersebut juga dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai, termasuk rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan Selangor FC.

Di samping itu, bapanya juga dilihat cukup terharu dengan pemberian berkenaan dan gagal untuk mengungkapkan kata-kata penghargaan terhadap Faisal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram