'Bukan JDT sahaja yang untung', giliran media Perancis pula sedar bakat Bergson


  • Podium
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Kualiti yang dimiliki Bergson meletakkannya sebagai salah satu penyerang terbaik di dunia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PENYERANG Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva boleh dianggap sebagai salah satu import terbaik pernah mewarnai Liga Malaysia.

Selain kepakarannya untuk melancarkan gerakan serangan, personalitinya di atas padang juga berjaya menarik perhatian dengan ada pihak melabelnya sebagai 'budak nakal'.

Namun, tarikan terbaik dimiliki pemain berusia 31 tahun itu ialah ketajamannya di hadapan pintu gol yang mudah menembusi gawang lawan.

Musim lalu, Bergson merupakan sumber gol terbaik JDT dengan dia menjaringkan 46 gol dalam kesemua penampilan, termasuk 29 daripadanya berpunca dalam Liga Super.

Ini termasuk beberapa gol dalam perlawanan penting, termasuk dua jaringan ketika membantu skuad Harimau Selatan menjuarai Piala FA ketika menentang Terengganu FC.

Pencapaian tersebut pastinya mengundang perhatian orang ramai, termasuk pihak media yang tidak henti-henti menceritakan kualiti dimiliki penyerang berbisa itu.

Lebih menarik lagi, statistik menakjubkan itu menyaksikan media Itali, Sky Sport Italia meletakkannya sebagai salah satu penyerang terbaik di dunia.

328560936_6571344799577435_3946056629955073920_n

Nama Bergson sekali lagi terpampang di dada akhbar antarabangsa. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namanya sekali lagi dijulang oleh media Eropah apabila 20 Minutes yang berpangkalan di Perancis meletakkannya setanding penjaring prolifik, termasuk Erling Haaland, Robert Lewandowski dan Kylian Mbappe.

Kejayaan itu semestinya menjulang nama skuad Harimau Selatan yang sememangnya mempunyai reputasi besar dalam kelab-kelab gergasi, terutamanya di Asia.

Tetapi, bagi seorang penyokong bola sepak tempatan, Sanat Alpha, kecemerlangan Bergson bukan sahaja memberi kelebihan buat JDT, malah Liga Malaysia secara keseluruhan.

"Bergson hanya melakukan tugasnya sebagai seorang pemain bola sepak. Apa-apa yang diperkatakan oleh media, termasuk perbandingan statistik peringkat antarabangsa ialah bonus baginya dan liga tempatan.

"Ini menunjukkan Liga Malaysia diberi perhatian oleh pengamal media antarabangsa. Rezeki Bergson, rezeki JDT dan rezeki Liga Malaysia," katanya.

Sumbangan pemain bertubuh sasa itu sedikit sebanyak menjadi punca buat pasukan Selatan tanah air itu mencatatkan sejarah tersendiri apabila muncul sebagai juara dalam kesemua kejohanan di peringkat senior.

Ini termasuk mengekalkan cengkaman dalam saingan Liga Super, membawa pulang trofi Piala FA dan Piala Malaysia dan tidak mengalami sebarang kekalahan di peringkat domestik. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram