Disyaki mengigau, budak lelaki 12 tahun terjatuh tingkat 11 meninggal dunia di Larkin


  • 112
  • Isnin, 30 Jan 2023

Mangsa yang berusia 12 tahun terselamat dan hanya mengalami patah tangan kiri.

"BERPANTANG maut sebelum ajal".

Itu yang dialami seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang patah tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah rumah pangsa di Jalan Garuda, Larkin, Johor pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.31 malam, mangsa yang berusia 12 tahun terselamat dan hanya mengalami patah tangan kiri.

Difahamkan, mangsa bersama beberapa kanak-kanak yang dipercayai bermain di aras 11 bangunan 15 tingkat itu sebelum terjatuh dan tersangkut pada bumbung kedai.

Namun di media sosial orang ramai mendakwa mangsa baru bangun dari tidur pada waktu Maghrib selepas penat pulang dari sekolah dan terus terjun dari tingkat 11.

"Mak dia cakap balik sekolah dia tidur maghrib-maghrib, mengigau terus dia terjun dari tingkat 11 rumah dia dekat dapur," kata @nanmanjoi8715.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Zulkarnain Arifin berkata, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya Pasukan Keluar Operasi (PKO) memang benar terdapat kejadian yang dilaporkan.

“Mangsa, seorang kanak-kanak 12 tahun ditemui tersangkut di atas bumbung kedai yang berada di tingkat bawah bangunan kediaman terbabit,”katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zulkarnain berkata, pihaknya bertindak membawa turun mangsa menggunakan stretcher sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya lagi, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam ketika menerima rawatan.

“Polis mengesahkan terdapat kes berkenaan dan kematian kanak-kanak lelaki berkenaan dilaporkan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram